Nishikori terus mara di Terbuka Miami

Nishikori terus mara di Terbuka Miami

MIAMI, 27 Mac (AFP) – Pilihan ketujuh dari Jepun, Kei Nishikori mara ke pusingan tiga kejohanan Terbuka Miami selepas menewaskan pemain ranking ke-107 dunia dari Perancis, Pierre-Hugues Herbert 6-2, 7-6 (7/4), sebentar tadi.

Bintang tenis Asia berusia 26 tahun itu yang juga naib juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2014 menafikan kebangkitan Herbert pada set kedua untuk menang menerusi penentuan tie-break dalam tempoh 88 minit.

“Dia bermain dengan lebih baik pada set kedua,” kata Nishikori.

“Saya cuba menjadi agresif. Saya tahu pada satu ketika saya perlu memberinya tekanan.

Sementara itu, bintang sensasi Sepanyol, Rafael Nadal berkata, faktor pening kepala memaksa dia menarik diri daripada aksi pusingan kedua berdepan Damir Dzumhur dalam Terbuka Miami, hari ini.

Nishikori ketika beraksi menentang Pierre-Hugues Herbert Perancis di Kejohanan Terbuka Miami di Crandon Park Tennis Center, Florida. – AFP
Nishikori ketika beraksi menentang Pierre-Hugues Herbert Perancis di Kejohanan Terbuka Miami di Crandon Park Tennis Center, Florida. – AFP

Pilihan kelima dari Sepanyol, Nadal, juara 14 kali Grand Slam ketika berjuang di set ketiga dalam suasana panas di gelanggang berhampiran Selatan Florida itu dan berhenti semasa perlawanan buat kali pertama dalam tempoh enam tahun.

Dzumhur yang menduduki ranking ke-94 dunia ketika itu mendahului perlawanan dengan 2-6 6-4 3-0.

Kali terakhir Nadal menarik diri dalam perlawanan adalah pada suku akhir Terbuka Australia 2010 menentang Andy Murray.

“Semuanya baik sehingga akhir set pertama,” kata Nadal.

“Kemudian saya berasa pening kepala, badan berasa lemah dan ia semakin teruk dan teruk.”

“Saya mahu menghabiskan perlawanan, tetapi serius saya tidak mampu. Ia sangat sukar, kerana saya berasa saya memulakan permainan dengan baik. Saya memilih untuk berhenti kerana bimbang dengan keadaan kesihatan saya.”

Dalam perkembangan lain, pemain nombor satu dunia, Serena Williams yang memburu gelaran Terbuka Miami buat kali keempat berturut-turut, mara ke pusingan keempat sebentar tadi apabila menewaskan pemain Kazakhstan berkedudukan ke-97 dunia, Zarina Diyas 7-5, 6-3.

Pemain Amerika Syarikat berusia 34 tahun itu yang juga juara 21 Grand Slam dalam acara perseorangan, selepas ini akan berdepan pemain ranking ke-15 dunia dari Russia, Svetlana Kuznetsova.

Williams yang memburu kejuaraan kesembilan secara keseluruhan di Miami, memiliki rekod 8-2 berdepan Kuznetsova, menang pertemuan terakhir tahun lalu pada pusingan keempat di Miami.

ARTIKEL YANG SAMA