Nissan beli saham Mitsubishi

Nissan beli saham Mitsubishi

TOKYO, 12 Mei (AP) – Nissan Motor Co sedang memperoleh 34 peratus saham dalam Mitsubishi Motors Corp dalam apa yang dikatakan oleh ketua Nissan Carlos Ghosn merupakan urus niaga “seimbang” yang bertujuan mengulang kejayaan gabungan Nissan-Renault.

Ghosn hadir bersama Pengerusi Mitsubishi Osamu Masuko dalam persidangan akhbar bersama pada hari ini di Yokohama, tempat terletaknya ibu pejabat Nissan. Ghosn berkata Nissan akan melabur 237 bilion yen untuk menjadi pelabur teratas dalam Mitsubishi Motors.

Syarikat kumpulan Mitsubishi, Mitsubishi Heavy Industries, syarikat perniagaan Mitsubishi Corp dan Bank Tokyo-Mitsubishi UFJ – akan terus memegang saham dalam pengeluar kereta itu, namun mereka telah bersetuju untuk menyokong gabungan dengan Nissan, kata kedua-dua pihak.

Mitsubishi Motors baru-baru ini dibelenggu oleh skandal mengenai penipuan dalam ujian perbatuan untuk menambah perbatuan untuk model kereta mini. Wartawan menghujani Ghosn dengan soalan mengenai sama ada beliau berasa bimbang bahawa skandal mungkin meningkat.

“Ia adalah urus niaga berjaya dan adil untuk Nissan dan Mitsubishi Motors. Ia mewujudkan tenaga baru dinamik dalam industri kereta yang akan bekerjasama secara giat dan menghasilkan sinergi yang agak besar,” kata Ghosn, yang mengatur gabungan Nissan dengan Renault, yang bermula pada 1999.

Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Carlos Ghosn (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi, Osamu Masuko berjabat tangan selepas sidang media bersama mereka di Yokohama, Jepun. - AP
Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Carlos Ghosn (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi, Osamu Masuko berjabat tangan selepas sidang media bersama mereka di Yokohama, Jepun. – AP

Menambah Mitsubishi akan menjadi faktor positif dalam perkongsian platform, pembelian dan teknologi, dan Nissan akan menerima faedah daripada kekuatannya di Asia tenggara, kata Ghosn. Beliau berkata beliau mempunyai hubungan yang erat dengan Masuko dan mereka mempunyai hubungan yang baik berdasarkan kepercayaan.

Pengeluar kereta itu akan mengekal identiti berasingan, jenama dan francais, kata Ghosn dan Masuko.

Di bawah perjanjian itu, Nissan akan membeli 506.6 juta saham Mitsubishi Motors yang baru dikeluarkan dengan harga 468.52 yen sesaham. Perjanjian itu masih tertakluk kepada pemeteraian formal satu perjanjian, kelulusan pengawal dan pemegang saham, namun dijangka dicapai pada akhir tahun.

Masuko meminta maaf atas skandal tetapi mengalu-alu gabungan dengan Nissan.

“Perjanjian ini akan mewujudkan nilai jangka panjang yang diperlukan untuk kedua syarikat untuk berkembang pada masa depan,” kata beliau.