Nissan uji ‘Easy Ride’

YOKOHAMA, 23 Feb – Bayangan masa hadapan Nissan, kereta tanpa pemandu untuk mengambil anak-anak dari sekolah dan menawarkan cadangan restoran kepada para pelancong dengan menggunakan pelbagai bahasa sebagai maklum balas yang dikeluarkan oleh Nissan Motor Co. ketika orang ramai cuba menggunakan ‘perkhidmatan mobiliti kenderaan robo’ mereka.

Pengeluar kereta itu berkata hari ini, seramai 300 orang telah mendaftarkan diri untuk menguji kenderaan ‘Easy Ride’ keluaran syarikat itu bulan hadapan, dengan harapan untuk melancarkannya sebagai ‘perkhidmatan komersial’ seawal tahun 2020, namun perincian mengenainya termasuk penetapan harga belum lagi diputuskan.

Perkhidmatan itu dibangunkan secara perkongsian bersama bermula tahun lalu dengan penyedia permainan mudah alih Jepun DeNa Co. DeNa yang telah berusaha memajukan teknologi bas tanpa pemandu dan perkhidmatan penghantaran di Jepun.

Pekerja Nissan menunjukkan aplikasi Easy Ride pada telefon pintar dan kenderaan tanpa pemandu di ibu pejabat syarikat itu di Yokohama, Jepun. – AP

Namun, buat masa sekarang, Easy Ride hanya dihadkan bagi perjalanan sehingga sejauh 4.5 kilometer yang bermula dari ibu pejabat Nissan dengan melewati kawasan kompleks membeli belah di bandar pelabuhan itu. Aplikasi berkenaan hanya terdapat dalam bahasa Jepun, namun syarikat itu merancang untuk menawarkan beberapa bahasa untuk para pelancong dan pengembara.

Seperti teknologi pemanduan autonomi yang lain, kenderaan Easy Ride dipenuhi dengan kamera, sensor dan radar untuk mengenal pasti laluan pejalan kaki, persimpangan, lampu isyarat dan kenderaan lain.

Secara prinsipnya, ia hanyalah kereta tanpa pemandu meskipun undang-undang Jepun tidak membenarkan kenderaan tanpa pemandu sepenuhnya. Namun menurut pengeluar kereta itu, campur tangan manusia kadangkala masih diperlukan untuk mengelakkan sebarang kemalangan dengan menempatkan pemandu di hadapan stereng. – AP