NJP tewas di tangan IV FT

NJP tewas di tangan IV FT

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mac – Pasukan NJP J4F FT terpaksa akur dengan kekalahan di tangan pasukan IV FT di Kompleks Sukan Sungai Kebun hari ini dengan jaring 3-1 di dalam Kejohanan Bola Sepak Veteran Kebangsaan 2016 DST – Piala Presiden.

Meskipun begitu Pasukan NJP perlu diberikan pujian kerana memberikan saingan pada babak pertama dan mencatatkan jaringan pertama perlawanan pada minit ke 28 jaringan Haji Mohd Aidil Karim Wahid sebelum kedudukan menjadi 1-1 hasil jaringan pemain IV FT, Haji Aji Amit pada minit ke 42.

Pada babak kedua pula perlawanan tampak lebih menyebalahi Pasukan IV yang lebih banyak menguasai perlawanan sehingga menyebabkan dua kali gawang Pasukan NJP dibolosi pada minit ke-51 oleh Haji Rambli bin Haji Matussin dan pada minit ke-54 oleh Saiful Adli Yaakub.

Kedudukan berkenaan kekal sehingga ke wisel penamat menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan akhirnya berkesudahan dengan jaringan 3-1 berpihak kepada Pasukan IV.

Selepas perlawanan, Pengurus NJP menegaskan stamina para pemain adalah faktor yang akan diberikan perhatian dalan perlawan seterusnya sedikit masa lagi.

Antara aksi perlawanan itu di Kompleks Sukan Sungai Kebun di sini.
Antara aksi perlawanan itu di Kompleks Sukan Sungai Kebun di sini.

“Kami bermain dengan baik pada babak pertama namun babak kedua merupakan cabaran besar kami kerana kecergasan yang tidak memihak kepada NJP untuk terus bertarung mempertahankan kedudukan atau menambah jaringan,” ujarnya lagi.

Walaupun begitu beliau turut menyatakan rasa berbesar hati melihat pelawanan di babak pertama yang tampak lebih seimbang sebelum insiden minit ke-51 dan ke-54 apabila jaring gawang NJP dibolosi IV FT pada separuh masa kedua perlawanan.

“Antara faktor kekalahan kali ini adalah momentum dalam menantikan kejohanan ini dan setelah berada dalam persaingan kami sedikit gopoh namun saya percaya masih banyak ruang untuk pembaikan dalam kejohanan kali ini, Justeru pemain diharapkan akan bangkit semula dengan semangatnya,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, Pengurus dan Pemain pasukan IV FT, Awang Mazlan bin Haji Abdul Hamid menyatakan perasaan gembiranya melihat persembahan yang memberangsangkan oleh barisan pemain IV sebelum menegaskan percaturan untuk mengisi ruang kosong di sebelah tengah padang membuahkan hasil.

“Pasukan kami banyak menguasai tengah padang dan pada saya itulah kelemahan pasukan lawan yang dijadikan peluang mendapatkan jaringan gol dan sekali gus memastikan 3 mata penuh dibawa pulang dengan gembira,” ujarnya lagi.

Menurutnya NJP bukan sebuah pasukan yang boleh dipandang ringan dan menurutnya prinsip berkenaan akan menjadi bekalan buat pasukannya dalam perlawanan seterusnya di dalam cabaran Piala Presiden kali ini.

“Kami akan cuba memperbaiki pada semua bahagian permainan dan mempertahankan corak permainan hari ini dan syabas kepada semua,” ujar Mazlan kepada Media Permata lagi.