NLD raih kemenangan besar Myanmar

NLD raih kemenangan besar Myanmar

YANGON, 13 Nov (dpa) – Tepat lima tahun selepas kali terakhir beliau dibebaskan dari tahanan dalam rumah, parti pembangkang Aung San Suu Kyi hari ini mengetahui bahawa ia telah memenangi majoriti kerusi dalam pilihan raya bersejarah Myanmar.

Parti Liga Kebangsaan Demokrasi (NLD) memenangi 238 dari 298 kerusi yang diisytiharkan di Dewan Rendah dan 110 dari 133 kerusi yang diisytiharkan di Dewan Tertinggi dalam pilihan raya Ahad lalu, menurut Suruhanjaya Kesatuan Pilihan raya (UEC).

Jumlah 348 bermakna NLD akan dapat memastikan bahawa calon mereka bagi jawatan presiden, menjadi pemegang seterusnya bagi jawatan eksekutif tertinggi negara itu.

Suu Kyi ditegah daripada memegang jawatan presiden disebabkan syarat perlembagaan, tetapi Suu Kyi berkata beliau akan mentadbir kerajaan dari ‘atas presiden’ selepas pilihan raya yang dipertandingkan secara terbuka buat pertama kali di negara itu dalam tempoh suku dekad.

Suu Kyi kini dijangka mengadakan pertemuan dengan orang paling penting di negara itu untuk membincangkan peralihan kuasa.

Seorang peniaga baju menunjukkan lakaran baju menyatakan parti NLD memenangi pilihan raya negara tersebut. – AFP
Seorang peniaga baju menunjukkan lakaran baju menyatakan parti NLD memenangi pilihan raya negara tersebut. – AFP

Rabu lalu beliau telah menghantar sepucuk surat memohon untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Thein Sein, ketua tentera Min Aung Hlaing dan juga Speaker Dewan Shwe Mann.

Ketiga-tiga mereka ini sebelumnya telah memberi ucap tahniah kepada beliau kerana memenangi pilihan raya dan menyetujui pertemuan itu, meskipun tidak ada tarikh ditetapkan.

Di sebalik keputusan pilihan raya itu, pakar-pakar berkata pihak ketenteraan – yang menetapkan 25 peratus kerusi dalam parlimen – akan mengekalkan pengaruh besar dalam pentadbiran akan datang di negara itu.

Tempoh lima tahun adalah tempoh dramatik bagi penerima anugerah Nobel ini. Pada hari ini lima tahun lalu, Suu Kyi dibebaskan dari tahanan dalam rumah selama bertahun-tahun oleh junta tentera Myanmar.

NLD juga dengan meyakinkan memenangi pilihan raya lalu yang ia bertanding pada tahun 1990, tetapi keputusan dibatalkan oleh pihak junta.