NLD yakin menangi pilihan raya Myanmar

NLD yakin menangi pilihan raya Myanmar

YANGON, 8 Nov (AFP) – Warga Myanmar mengundi hari ini dalam pilihan raya umum bersejarah yang mungkin menyaksikan Aung San Suu Kyi dan parti prodemokrasi Liga Demokrasi untuk Kebangsaan (NLD) pimpinannya mendapat kuasa mentadbir negara itu yang kini diperintah junta tentera.

Menjelang pusat pengundian dibuka, warga Myanmar sudah berbaris panjang sekali gus menzahirkan keterujaan mereka untuk mengundi dalam pilihan raya itu, dan mereka juga berharap ia dapat dilaksanakan dengan adil dan telus.

“Semua pusat pengundian dibuka jam 6 pagi (waktu tempatan, sejam setengah di belakang Malaysia),” kata pegawai suruhanjaya, Ko Ko.

NLD sudah beberapa kali menyuarakan keyakinannya bahawa pilihan raya yang adil dan telus akan membolehkannya membentuk kerajaan.

Para penyokong parti NLD berkumpul untuk menyaksikan jumlah kutipan undi pilihan raya umum Myanmar. – Reuters
Para penyokong parti NLD berkumpul untuk menyaksikan jumlah kutipan undi pilihan raya umum Myanmar. – Reuters

Suu Kyi yang lebih dikenali warga Myanmar sebagai ‘Ibu Suu’ menerajui gerakan demokrasi di negara itu sekali gus menjadi pendorong utama kekuatan NLD.

Bagaimanapun, Suu Kyi tidak boleh menjadi Presiden negara itu mengikut perlembagaan yang dirumus junta tentera.

Dalam pada itu, kalangan pengundi yang ditemui menyuarakan kebimbangan mereka berhubung kemungkinan reaksi tentera jika mereka kalah dalam pilihan raya itu nanti.

“Saya tak boleh tidur malam tadi kerana terlalu teruja (untuk mengundi),” kata Ohnmar Win, 38, seorang pengundi ditemui di sebuah pusat pengundian yang mana Suu Kyi turut dijadualkan mengundi di situ pagi ini.