Norn Iron lebar rekod tanpa kalah

Norn Iron lebar rekod tanpa kalah

BELFAST, 29 Mac (Reuters) – Ireland Utara melebarkan rekod tanpa kalah kepada 10 perlawanan selepas kemenangan 1-0 ke atas Slovenia dalam satu aksi persahabatan menjelang Kejuaraan Eropah, semalam.

Conor Washington meledak gol tunggal di Windsor Park untuk kemenangan yang meletakkan pengendalinya, Michael O’Neill satu perlawanan di depan Billy Bingham yang membawa Ireland Utara sembilan perlawanan tanpa kalah sebanyak dua kali.

Pemain terbaik perlawanan, Washington memecah kebuntuan pada minit ke-41 untuk gol antarabangsa pertamanya dalam penampilan kedua bersama skuad kebangsaan.

Dia sekali gus menjadi pemain Ireland Utara pertama menjaringkan gol pada penampilan pertama di laman sendiri sejak George McCartney yang melakukannya pada 2001.

Penjaga gol veteran Roy Carrol, 38, memastikan gawang tuan rumah tidak dibolosi apabila dia menyelamatkan sepakan penalti, Milivoje Novakovic pada minit ke-66.

Washington (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan pada aksi persahabatan menentang Slovenia di Stadium Nasional, Windsor Park, Belfast, semalam. – AFP
Washington (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan pada aksi persahabatan menentang Slovenia di Stadium Nasional, Windsor Park, Belfast, semalam. – AFP

“Memang bagus dapat mencapai sesuatu seperti ini,” kata O’Neill berkenaan rekod tanpa kalah dicapainya itu. “Ia untuk pasukan – tidak tewas dalam 10 perlawanan adalah pencapaian hebat.”

Washington, 23, yang sekadar bermain untuk St Ives Town – kelab di luar liga – lima tahun lalu, layak mewakili Ireland Utara menerusi sebelah neneknya tetapi tidak pernah menjejakkan kaki ke negara berkenaan sehingga dia dipanggil untuk aksi persahabatan bulan ini.

Ireland Utara akan melayan kunjungan Belarus dan bertandang ke Slovakia dalam dua aksi persahabatan terakhir sebelum memulakan kempen Euro 2016 bertemu Poland, diikuti Ukraine dan juara dunia, Jerman.

Slovenia tercicir daripada kejohanan di Perancis selepas tewas pusingan ‘playoff’ kepada Ukraine.

ARTIKEL YANG SAMA