Nota baru diharap bersihkan nama – Platini

Nota baru diharap bersihkan nama – Platini

PARIS, 7 Dis – Michel Platini berharap nota baharu yang didakwa menjadi bahan bukti perjanjian pembayaran dengan bos Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Sepp Blatter akan membersihkan namanya dalam kes rasuah sekali gus menyalakan semula impiannya bertanding bagi jawatan presiden badan induk bola sepak dunia itu.

Berdepan kemungkinan digantung seumur hidup atas tuduhan rasuah, Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) yang digantung sementara itu didakwa terbabit dalam salah laku kewangan yang menyaksikan dia menerima AS$2 juta daripada Blatter yang diluluskan FIFA pada 2011.

Pasukan komunikasi Platini mendakwa pagi tadi bahawa nota 23 muka surat yang diterima awal minggu ini menunjukkan jawatankuasa eksekutif UEFA menyedari perjanjian dengan Blatter sejak November 1998.

Blatter dan Platini dijangka akan hadir bagi menjawab pertuduhan kepada jawatankuasa etika FIFA dalam tempoh dua minggu lagi.

Nota, yang dibocorkan kepada akhbar Perancis Le Journal du Dimanche, adalah agenda mesyuarat jawatankuasa eksekutif FIFA bertarikh 12 November 1998.

Pada ketika itu, Platini masih belum menjadi ahli jawatankuasa eksekutif UEFA dan menjadi menyumbang kepada kejayaan kempen Blatter untuk jawatan presiden FIFA.

Dalam lampiran yang terdapat pada nota itu, terdapat ringkasan berkaitan tugasan Platini dengan Blatter juga menyebut beliau dijangka untuk menjadi pengarah sukan untuk persekutuan itu pada penggal berikutnya.

Menurut pasukan komunikasi Platini, bekas legenda bola sepak dunia itu akan menerima bayaran untuk kerjanya dengan Blatter jelas sekali menyebut dalam nota: “Terdapat perbincangan mengenai gaji 1 juta Swiss Franc (AS$999,777).”

Platini sebelum ini berkata, beliau pernah membuat perjanjian lisan dengan Blatter untuk dibayar 1 juta Swiss Franc (AS$999,777) setahun. – Agensi