Notis tegahan seperti tidak wujud

Notis tegahan seperti tidak wujud

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 20 Julai – Papan tanda tegahan yang didirikan seperti tidak wujud, apabila orang yang tidak bertanggungjawab terus membuang sampah di persekitaran kawasan berdekatan Jalan Balingkawan, RPN Kampung Lumut di sini.

Beberapa orang penduduk memberitahu, sampah semakin kelihatan berselerak di hujung jalan mati kawasan berkenaan, terutama sekali pada musim hari raya ini.

Salah seorang penduduk melahirkan rasa kecewa terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab menjaga kebersihan alam sekitar, dan tidak menghiraukan papan tanda amaran yang telah didirikan oleh pihak berkenaan.

“Sepatutnya, sampah sarap dibuang di kawasan yang telah ditetapkan, bukannya dibiarkan berselerak di tempat yang ditegah, ia bukan saja memburukkan pemandangan tetapi juga mencemarkan kebersihan alam sekitar,” kata Dayang Mariam.

Sampah sarah berselerak di satu simpang jalan mati kawasan Jalan Balingkawan, RPN Kampung Lumut.
Sampah sarah berselerak di satu simpang jalan mati kawasan Jalan Balingkawan, RPN Kampung Lumut.

Menurutnya, dengan keadaan yang kotor seperti itu, turut menggalakkan lagi kemunculan anjing-anjing liar, atau binatang liar lainnya termasuk monyet, dan biarpun ia merupakan jalan mati tetapi masih merupakan kawasan awam bagi para penduduk di persekitaran perkampungan itu.

Sementara itu, beberapa orang lagi penduduk berdekatan di kawasan itu juga memberitahu, terdapat satu batang jalan raya yang diconteng-conteng dengan menggunakan cat semburan, dan dipercayai dilakukan oleh pemugut selain dipercayai menjadi tempat aktiviti lepak yang tidak sihat, kerana terdapat paket-paket rokok kosong dibuang merata di kawasan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA