Novak Djokovic, Serena ketuai cabaran

Novak Djokovic, Serena ketuai cabaran

LOS ANGELES, 24 Julai – Juara Wimbledon dan pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic serta Serena Williams akan menerajui aksi lelaki dan wanita pada kejohanan tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) tahun ini, umum Persatuan Tenis Amerika Syarikat, semalam.

Djokovic, yang melangkah ke final Terbuka AS lima kali dan merangkul gelaran pada 2011, berada di kedudukan teratas dalam senarai pemain elit yang turut disertai bekas juara, Roger Federer (2004-08), Rafa Nadal (2010, 2013), Andy Murray (2012) dan pemenang tahun lalu, Marin Cilic.

Bintang tenis Serbia itu mensasarkan untuk merangkul gelaran Grand Slam buat kali ketiga tahun ini, setelah menjuarai Terbuka Australia, Februari lalu sebelum menumpaskan Federer dalam final Wimbledon, awal bulan ini.

Terbuka AS akan bermula pada 31 Ogos hingga 13 September ini di Pusat Tenis Nasional Billie Jean King USTA di Flushing, New York.

Sementara itu, Serena Williams pula bakal mencuri tumpuan pada kejohanan yang akan berlangsung dua minggu itu apabila dia berpeluang muncul pemain wanita ketiga memenangi ‘kalendar tahunan’ Grand Slam dalam era profesional.

Pemain berusia 33 tahun itu, menyingkirkan pencabar dari Sepanyol, Garbine Muguruza 6-4, 6-4 dalam perlawanan akhir Wimbledon.

Kemenangan itu merupakan gelaran Wimbledon keenam serta mahkota Grand Slam ke-21 buat Williams, dan tiada siapa yang dapat menghalangnya daripada melakar sejarah di Flushing Meadows di mana dia tidak pernah tewas sejak 2011, melainkan masalah kecederaan yang menimpa. – Reuters