Novo Nordisk kekal operasi di Malaysia

Novo Nordisk kekal operasi di Malaysia

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) – Novo Nordisk, syarikat penjagaan kesihatan global bagi penjagaan diabetes, akan terus mengekalkan operasinya di Malaysia sebagai hab dan pusat klinikal serantau, kata Pengerusinya Dr Goran Ando.

Novo Nordisk memasuki pasaran Malaysia pada 1992 dan memindahkan ibu pejabat Asia Tenggaranya dari Singapura ke sini pada 2010.

Ando berkata perniagaan syarikat itu, dalam jangka pendek dan pertengahan, akan berkembang kukuh selaras perkembangan pesat ekonomi dan sosial Malaysia.

“Negara ini terjejas akibat kejatuhan harga minyak dan penyusutan ringgit, dan kami melihat kelembapan dalam perniagaan, dan kerajaan membuat keutamaan dalam perbelanjaannya.

“Pada asasnya, Malaysia berada pada kedudukan yang betul dan akan berkembang kukuh memandangkan dalam ekonomi, secara realistiknya tidak akan terus berjalan lancar sepanjang masa. Kami percaya semua ini berlaku hanya untuk tempoh jangka pendek,” katanya kepada Bernama.

Syarikat yang berpangkalan di Denmark itu dan merupakan pengeluar insulin terbesar di dunia, kini menguasai 21.5 peratus pasaran pengurusan diabetes di Malaysia.

Beliau berkata hakikat bahawa perlunya pengurusan diabetes yang lebih baik juga merupakan alasan bagi syarikat itu untuk kekal di Malaysia.

Ando berkata sepanjang dekad yang lepas, Malaysia mencatatkan kadar peningkatan diabetes tertinggi di Asia Tenggara, yang menyaksikan peningkatan 30 peratus kepada 3.2 juta yang menghidap penyakit itu hari ini.

“Pada 2006, 11.5 peratus daripada orang dewasa (berumur 18 tahun ke atas) menghidap diabetes. Hari ini angka itu meningkat kepada 16 peratus,” katanya.

Menurut Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF), lebih 33 juta orang (berusia 20 hingga 79 tahun) menghidap diabetes di Bangladesh, Indonesia, Malaysia, Brunei, Filipina, Thailand, Sri Lanka, Laos, Singapura, Kemboja, Myanmar dan Vietnam.

IDF berkata 50 juta orang dijangka hidup dengan penyakit diabetes di Asia Pasifik pada 2035.

Pembunuh senyap itu menyebabkan 4.9 juta kematian tahun lepas.

Sementara itu, di peringkat global, Naib Presiden Eksekutif bagi Pasaran Pesat Membangun Novo, Maziar Mike Doustdar berkata Novo Nordisk mencatatkan pertumbuhan jualan sembilan peratus kepada 55 bilion Danish Krones (AS$8.26 bilion) bagi tempoh separuh pertama 2015 berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Kami juga memperuntukkan kira-kira 15 peratus daripada jumlah perolehan kami untuk penyelidikan dan pembangunan,” kata Doustdar, sambil menambah bahawa lebih banyak peruntukan akan disediakan jika diperlukan oleh jabatan berkenaan.

Beliau berkata syarikat itu tidak bercadang untuk meluaskan kemudahan kilangnya selain kilang terbesar di Copenhagen, Denmark, yang menggunakan sumber tenaga boleh baharu.

“Kami lebih suka membelanjakan sumber kewangan untuk menghasilkan inovasi baharu. Selain itu pengeluaran kami menggunakan sumber boleh baharu yang cekap dan berkekalan,” kata Doustdar.

Novo mengeluarkan semua jenis insulin – insulin Manusia, Insulin Moden (analog) dan Insulin generasi akan datang.

Doustdar berkata Insulin Manusia dijual pada harga yang paling berpatutan.

“Syarikat komited menjualnya pada kos pengeluaran minimum di negara kurang membangun yang dikenal pasti oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kami mahu menjadikannya ubat yang mampu dibeli, mungkin kira-kira pada harga secawan kopi atau teh setiap hari, namun kami akan terus melakukan inovasi dari semasa ke semasa untuk menghasilkan produk canggih untuk mereka yang berkemampuan,” kata Doustdar. Beliau berkata syarikat itu akan melancarkan produk terbaru untuk penjagaan diabetes, namun enggan mengulas lanjut.

ARTIKEL YANG SAMA