NTO promosi pelancongan ASEAN

NTO promosi pelancongan ASEAN

Oleh Rafidah Jumat

 

MANILA, 22 Jan – Sepuluh anggota Organisasi Pelancongan Kebangsaan ASEAN (NTOs ASEAN) telah mendedahkan kempen gabungan ‘ASEAN untuk ASEAN’ yang membawa sembilan tema berbeza untuk mempromosi pelancongan dalam rantau ASEAN sekali gus menggalakkan lebih banyak warganya untuk berkunjung ke ASEAN.

Kempen ini didedahkan dalam sidang media yang berlangsung di Pusat Konvensyen SMX di sini, hari ini.

‘ASEAN untuk ASEAN’ merupakan kerjasama pelancongan intra-serantau di mana setiap NTO akan mengambil tugasan masing-masing untuk menggerakkan sektor pelancongan serantau sepanjang 2016, dan pada masa yang sama mempromosi kesedaran mengenai jenama pelancongan ASEAN.

Tidak dinafikan ramai penduduk ASEAN sudah biasa dengan negara jiran mereka, namun masih banyak lagi tempat tarikan yang perlu dikunjungi dan dialami di setiap negara anggota.

Dalam kempen ‘ASEAN untuk ASEAN’ ini, Brunei akan mempromosikan pelancongan berdasarkan komuniti; Kemboja pula akan mempromosi budaya dan warisan ASEAN, sementara itu Myanmar akan memperlihatkan acara-acara tempatan mereka.

Antara para perwakilan yang hadir semasa sidang media tersebut.
Antara para perwakilan yang hadir semasa sidang media tersebut.

Indonesia akan mempromosi spa dan kesihatan; Laos pula menawarkan pelancongan berdasarkan alam semula jadi; Singapura menawarkan pelancongan melalui kapal persiaran; Vietnam akan mengetengahkan pelancongan sungai mereka manakala Malaysia mempromosi pengembaraan ASEAN.

Sementara itu, Thailand akan menganjurkan alami sendiri pelancongan kreatif dan Filipina pula mempromosi negara mereka menerusi penganjuran acara antarabangsa.

Sidang media ‘ASEAN untuk ASEAN’ sempena Forum Pelancongan ASEAN (ATF) itu dihadiri wakil-wakil industri pelancongan Syed Yahya Syed Othman dari Malaysia; Le Tuan Anh dari Vietnam; Walailak Noypayak dari Thailand; Michelle Chen dari Singapura, Wisnu Bawa Tarunajaya dari Indonesia dan Sounh Manivona dari Laos.

ATF merupakan usaha serantau untuk mempromosikan ASEAN sebagai satu-satunya destinasi pelancongan yang menawarkan hospitaliti dan kepelbagaian budaya Asia yang terbaik.

ARTIKEL YANG SAMA