NTP Program Pembaruan Sektor Awam Terbaik

NTP Program Pembaruan Sektor Awam Terbaik

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Program Transformasi Negara (NTP) dinobatkan Program Pembaruan Sektor Awam Terbaik pada Anugerah Tadbir Urus Global (3G) di Istanbul, Turki, baru-baru ini.

NTP adalah program perubahan radikal dengan menumpukan keutamaan terhadap bidang sosioekonomi bagi menghasilkan kesan ketara terhadap negara selain turut menjadi pemacu usaha Malaysia mencapai status sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) dalam satu kenyataan Jumaat berkata, Anugerah 3G anjuran Cambridge IF Analytica itu mengiktiraf kecemerlangan pelaksanaan NTP bagi meningkatkan kualiti, kecekapan kos serta produktiviti perkhidmatan yang berkaitan dengan awam.

Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU, Datuk Seri Idris Jala pula menyifatkan pencapaian di peringkat antarabangsa itu sebagai satu penghargaan kepada perkhidmatan awam Malaysia.

“Cabaran serta getir transformasi itu sendiri sememangnya bukanlah sesuatu yang selesa.

Ada keputusan sukar yang perlu diambil dan mengecewakan segelintir pihak. Namun hari ini, NTP terbukti mencatat perkembangan, membina daya saing serta menyuntik rasa keyakinan,” katanya.

PEMANDU dipertanggungjawabkan untuk memantau pelaksanaan NTP pada 2009 dan perjalanan transformasi Malaysia turut menjadi tumpukan pelbagai kajian antarabangsa dengan ulasan mengenainya dilakukan oleh pihak Bank Dunia, Forum Ekonomi Dunia, media global Bloomberg, Fakulti Perniagaan (Universiti) Harvard serta Universiti Princeton di Amerika Syarikat. – Bernama