Nuklear AS masih guna sistem lapuk

Nuklear AS masih guna sistem lapuk

WASHINGTON, 26 Mei – Pasukan nuklear Amerika masih menggunakan cakera liut yang dicipta pada 1970 untuk menyelaraskan beberapa fungsinya, menurut laporan pemerhati yang dikeluarkan semalam.

Laporan Pejabat Kebertanggungjawapan Kerajaan merujuk kepada beberapa “sistem legasi” yang sudah lapuk masih digunakan di semua agensi kerajaan AS yang perlu dipertingkatkan.

Satu sistem kawalan Pentagon yang “menyelaraskan fungsi operasi pasukan nuklear Amerika Syarikat, seperti peluru berpandu balistik antara benua, pesawat pengebom nuklear, dan pesawat udara sokongan meriam,” menggunakan komputer IBM Series/1 dan cakera liut 8-inci, kata laporan.

Komputer jenis itu diperkenalkan pada tahun 1976, apabila Gerald Ford berada di Rumah Putih. “Sistem ini masih digunakan disebabkan ia masih berfungsi,” beritahu jurucakap Pentagon Lt. Kol Valerie Henderson kepada AFP.

“Bagaimanapun, untuk mengatasi isu keusangan, cakera liut dijadual diganti dengan peranti Secure Digital pada akhir tahun 2017,” tambah beliau. “Pemodenan di seluruh Kawalan dan Komunikasi Nuklear (NC3) masih diteruskan.”

Menurut laporan GAO, Pentagon merancang menggantikan sepenuhnya sistem tersebut pada akhir 2020. GAO berkata kerajaan persekutuan sedang membelanjakan lebih banyak lagi ke atas “operasi dan penyelenggaraan” sistem komputernya berbanding “pemodenan dan peningkatan pembangunan.”

Tahun lalu, misalnya, kerajaan membelanjakan AS$61.2 bilion untuk operasi dan penyelenggaraan, berbanding AS$19.2 bilion dalam kategori lain. Laporan juga mendapati Jabatan Perbendaharaan menggunakan “kod pemasangan bahasa” yang pada mulanya dihasilkan pada 1950.

Pejabat Pengurusan dan Belanjawan telah memulakan satu inisiatif untuk menggantikan sistem legasi IT, “tetapi sehingga dasar dimuktamadkan dan dilaksanakan sepenuhnya, kerajaan menghadapi risiko mengekalkan sistem yang telah menjadi tidak berkesan,” kata laporan. – AFP