!null juara Cyber Battle

!null juara Cyber Battle

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Pasukan !null berjaya menewaskan sembilan pasukan lain yang telah mengikuti pertandingan penggodaman komputer Cyber Battle: Capture The Flag 2016, setelah menguasai pusingan yang berlangsung di Dewan Mahligai, Airport Mall, hari ini.

Pasukan !null memperolehi 1,675 mata secara keseluruhan untuk meraih tempat pertama, manakala tempat kedua pula jatuh kepada Pasukan FFQ yang berjaya mengutip sejumlah 1,375 mata, dan Pasukan Soapobot pula mendapat tempat ketiga selepas mengutip 1,000 mata.

Pertandingan penggodaman yang berlangsung selama sehari itu telah menguji kemahiran para peserta dalam keselamatan siber dan mengeksploitasi kelemahan ‘server’ permainan.

Dua pasukan yang menang akan diberi penghormatan untuk mewakili Brunei Darussalam di peringkat antarabangsa dalam Cyber SEA Game 2016 di Bali, Indonesia pada hujung September ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap (Media & Kabinet) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohammad Riza bin Dato Paduka Haji Mohammad Yunos.

Awang Shamsul Bahri ketika menyampaikan ucapannya.
Awang Shamsul Bahri ketika menyampaikan ucapannya.
Suasana ketika pertandingan Cyber Battle berlangsung.
Suasana ketika pertandingan Cyber Battle berlangsung.

Juara pertandingan masing-masing membawa pulang iPad Pro, naib juara membawa pulang DJI Osmo setiap seorang dan pasukan tempat ketiga pula masing-masing membawa pulang Bang & Olufsen Beoplay A2.

Cara permainan pada pertandingan berkenaan ialah menggunakan gaya Jeopardy (Jeopardy-style), dengan pelbagai cabaran termasuk web, crypto, eksploitasi, forensik digital dan analisis paket.

Cabarannya pula berdasarkan kepada senario IT sebenar dan peserta dikehendaki menunjukkan teknik analisis untuk menyelesaikannya bagi membolehkan mereka mengutip mata.

Cyber Battle adalah acara tahunan yang dianjurkan buat kali kedua oleh pakar keselamatan IT tempatan, ITPSS Sdn Bhd dengan sokongan AITI, sebagai satu cara untuk menonjolkan kepentingan IT dan keselamatan siber serta keperluan yang semakin meningkat dalam pakar keselamatan di negara ini.

Awang Mohammad Riza ketika menyampaikan hadiah utama kepada Pasukan !null selaku juara pertandingan Cyber Battle tahun ini.
Awang Mohammad Riza ketika menyampaikan hadiah utama kepada Pasukan !null selaku juara pertandingan Cyber Battle tahun ini.
Pasukan FFQ yang memenangi tempat kedua dengan membawa pulang DJI Osmo.
Pasukan FFQ yang memenangi tempat kedua dengan membawa pulang DJI Osmo.

“Cyber Battle merupakan peluang untuk mengukur tahap kompetensi profesional IT di negara ini dalam pelbagai bidang, disiplin IT dan keselamatan siber,” Ketua Pegawai Eksekutif ITPSS, Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis berkata dalam ucapannya.

“Brunei menghadapi kekurangan pakar IT dan keselamatan siber. Adalah diharapkan Cyber Battle akan menarik minat mereka memilih IT dan keselamatan siber sebagai kerjaya mereka.”

Selain pertandingan tersebut, ITPSS juga telah mempamerkan beberapa perkhidmatan keselamatan IT termasuk forensik mudah alih, forensik komputer, pemulihan data, perkhidmatan keselamatan terurus, sistem penyelarasan pelbagai agensi, kesedaran keselamatan IT, E -Learning bagi Information Security Environment (ELISE) dan penyelesaian pengurusan acara RFID (TAGG).

Syarikat dari Korea, Duzon turut mendemonstrasikan perisian forensik digital DFAS mereka pada acara pertandingan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA