Nur Haziq, Nurul Amiran kuasai kejohanan olahraga

Nur Haziq, Nurul Amiran kuasai kejohanan olahraga

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Ogos – Dengan catatan masa 11 minit 25.30 saat, Nur Haziq bin Samil @ Ismail dari Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar tampil juara bagi acara 3,000 meter (akhir) pada hari pertama Kejohanan Olahraga Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab-Maktab Senegara Brunei Darussalam 2016 di Kompleks Sukan Berakas.

Beliau menguasai bahagian Kategori Lelaki B apabila berjaya meninggalkan saingannya dari Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Mohd Hazman bin Muhd Asyraf Syarqawi di tempat kedua dan berada di tempat ketiga adalah Woo Jun Fui dari Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan.

Sementara itu dalam acara yang sama di kategori Perempuan B Nurul Amiran binti Karim mencatatkan masa 14 minit 12.22 saat untuk meraih emas acara 3,000 meter meninggalkan peserta dari Kolej Anthony Abel, Dayangku Hairani binti Pengiran Bakar di tempat kedua dan Liew Mei Ting dari Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan di tempat ketiga.

19 acara dipertandingkan di hari pertama dengan dua daripadanya merupakan perlumbaan akhir bagi 3,000 meter lelaki dan perempuan B sementara acara lain yang dipertandingkan masih di peringkat saringan iaitu acara 800 meter dan 200 meter.

Acara penyampaian hadiah bagi acara 3,000 meter akhir lelaki.
Acara penyampaian hadiah bagi acara 3,000 meter akhir lelaki.
Gambar ramai pemenang bagi acara 3,000 meter akhir perempuan B kelmarin.
Gambar ramai pemenang bagi acara 3,000 meter akhir perempuan B kelmarin.

Sebanyak 30 buah sekolah menyertai kejohanan kali ini dengan penyertaan 572 orang peserta yang bakal bersaing didalam 52 acara daripada empat kategori termasuk lelaki dan perempuan B dan C.

Antara acara yang dipertandingkan adalah 100 meter, 200 meter, 400 meter, 800 meter, 1,500 meter, 3,000 meter, 5,000 meter, 10,000 meter, 100 meter berpagar, 110 meter berpagar, 400 meter berpagar, 4 x 100 meter dan 4 x 400 meter.

Sementera itu acara padang pula antaranya adalah lompat jauh, lompat tinggi, lompat kijang, lempar cekera, lontar peluru dan rejam lembing.

Esok pada hari kedua, 15 acara akan diteruskan dalam program kejohanan antaranya acara padang termasuk lompat kijang, lompat jauh, lontar peluru, rejam lembing dan lempar cekera.

Pertandingan juga akan diteruskan dengan acara balapan termasuk 1,500 meter, 400 meter dan 4 x 100 meter.

ARTIKEL YANG SAMA