Nur Hidayah, Nur Nawwarah juara pertandingan dikir

Nur Hidayah, Nur Nawwarah juara pertandingan dikir

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 23 Nov – Dalam usaha menyemai rasa kasih dan sayang kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, Majlis Perundingan Kampung Batang Tuau dengan kerjasama Jabatan Daerah Temburong telah menganjurkan Pertandingan Dikir Syarafil Anam.

Pertandingan bagi ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung Daerah Temburong ini juga diadakan bagi meraih rahmat dan petunjuk serta hidayah Allah S.W.T dalam segenap lapangan dengan kecemerlangan dalam kalangan masyarakat mukim dan kampung secara amnya. Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang diadakan di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Muncul juara kategori lelaki ialah Pasukan Nur Hidayat dari Mukim Bokok, manakala Pasukan Nur Nawwarah dari Mukim Batu Apoi menjuarai kategori perempuan, dengan masing-masing membawa pulang piala dan wang tunai. Sebanyak 10 pasukan telah menyertai pertandingan tersebut yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu pasukan lelaki dan perempuan.

Yang Berhormat Haji Sulaiman semasa hadir selaku tetamu kehormat di Pertandingan Dikir Syarafil Anam itu.
Yang Berhormat Haji Sulaiman semasa hadir selaku tetamu kehormat di Pertandingan Dikir Syarafil Anam itu.
Pasukan Nur Nawwarah dari Mukim Batu Apoi juara bagi kategori perempuan.
Pasukan Nur Nawwarah dari Mukim Batu Apoi juara bagi kategori perempuan.

Pertandingan antara lain bertujuan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat dan penduduk di daerah ini serta mengekalkan warisan budaya khususnya di Negara Brunei Darussalam supaya tidak pupus kerana keindahan seni lagu islam sesuai dengan konsep ‘Negara Zikir.’

Turut hadir ialah para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di daerah ini, para pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Temburong serta ahli-ahli jawatankuasa majlis-majlis perundingan mukim dan kampung Daerah Temburong.

ARTIKEL YANG SAMA