Nur Qistina juara Bintang Kecil 2016

Nur Qistina juara Bintang Kecil 2016

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Dayang Nur Qistina Adriana binti Yusriwan dinobatkan sebagai juara Pertandingan Bintang Kecil 2016 setelah berjaya memukau penonton dengan lagu nyanyian ‘Bahtera Merdeka’.

Dalam pertandingan yang berlangsung di Dewan Raya Radio Televisyen Brunei (RTB), di sini, hari ini, tempat kedua disandang oleh Awang Abdul Haziq bin Haji Masri dengan nyanyian ‘Laksmana Raja di Laut’ dan Awang Muhammad Azuan Anawi bin Arwen memenangi tempat ketiga.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohammad Riza bin Dato Paduka Haji Mohammad Yunos bersama Pengarah RTB, Haji Muhd Suffian bin Haji Bungsu.

Johan pertandingan anjuran RTB ini membawa pulang wang tunai $1,000 berserta piala rebutan, piala iringan, baucar sumbangan Royal Brunei Catering (RBC) dan SugarBun di samping hamper sumbangan Handsome Enterprise.

Naib johan pula menerima hadiah wang tunai $700 berserta piala iringan, baucar sumbangan RBC dan SugarBun, serta hamper sumbangan Handsome Enterprise, manakala itu, pemenang ketiga menerima wang tunai $500 berserta baucar sumbangan RBC dan Sugarbun serta hamper.

Tetamu kehormat bergambar ramai bersama pemenang dan peserta Bintang Kecil 2016.
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama pemenang dan peserta Bintang Kecil 2016.

Semasa ditemu bual, Dayang Nur Qistina Adriana meluahkan perasaan terkejut dan bangga atas kemenangan beliau.

“Saya terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang Bintang Kecil 2016, kejayaan ini saya tujukan juga kepada ibu bapa saya yang telah melatih saya sehingga ke penghujungnya,” ujar beliau yang membawa lagu pilihan dengan gabungan tarian asli yang dilatih oleh ibu bapa beliau sendiri.

Bapanya, Awang Yusriwan sebagai pendorong Dayang Nur Qistina itu berkata, anaknya itu akhirnya berjaya mendapat tempat pertama setelah mengikuti pertandingan berkenaan sebanyak tiga kali.

Katanya, walaupun latihan Dayang Nur Qistina amat singkat kerana adanya peperiksaan tetapi beliau meluangkan masa melatih anaknya untuk mencapai kemahuan anak menjuarai pertandingan tahun ini.

“Insya-Allah harapan di masa akan datang semoga anak saya akan berjaya dalam bidang nyanyian dan lainnya,” katanya lagi.

Pertandingan Bintang Kecil yang diadakan buat kali ke-39 setelah diperkenalkan pada tahun 1978, merupakan salah satu platform yang dapat menggilap dan mengasah bakat kecil untuk berani tampil di khalayak ramai dalam membina keyakinan diri, menyemai kecekapan, kecerdasan, kreativiti serta semangat daya saing yang tinggi.

Ia juga dihasratkan agar dapat membentuk sahsiah generasi muda untuk menjadi sosok warga yang hebat dan bakal berbakti kepada agama, bangsa dan negara dengan penuh cemerlang tanpa mengganggu-gugat kehalusan budaya dan warisan pusaka bangsa yang menjadi pasak kehidupan bermasyarakat, berbangsa dan bernegara.

ARTIKEL YANG SAMA