Nurul Izzah diharamkan masuk Sabah – Adun Tungku

Nurul Izzah diharamkan masuk Sabah – Adun Tungku

KOTA KINABALU, 24 Nov (Bernama) – Seorang penyokong kerajaan hari ini mencadangkan agar Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dilarang daripada memasuki Sabah berikutan tindakannya menemui anak perempuan bekas ketua kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III.

Datuk Mohd Suhaili Said (BN-Tungku) berkata perbuatan Nurul Izzah itu amat tidak wajar kerana rakyat negara ini, khususnya di Sabah, begitu menderita dan marah dengan perbuatan kumpulan bersenjata Sulu menceroboh Tanduo, Lahad Datu, pada tahun 2013.

“Apa masalahnya apabila Nurul Izzah menemui Jacel H.Kiram? Jacel minta bukan apa (tetapi) menuntut Sabah untuk masuk sebagai (Kesultanan) Sulu punya,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2016 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata soal Kesultanan Sulu atau Filipina menuntut Sabah itu hak mereka, namun beliau menegaskan rakyat Sabah telah pun membuat keputusan dan memilih untuk bersama Malaysia.

Jacel memuat naik empat keping gambar pada 9 Nov lepas dalam akaun Facebook beliau yang memaparkan pertemuannya dengan Nurul Izzah.