Nurul Izzah tidak patriotik, tidak sensitif

Nurul Izzah tidak patriotik, tidak sensitif

KUCHING, 7 Dis – Larangan masuk ke Sarawak yang dikenakan ke atas Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dibuat atas pertimbangan sikap tidak patriotik dan tidak sensitifnya, baru-baru ini.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak Abdullah Saidol hari ini berkata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu perlu lebih tahu sikapnya itu telah melukakan penduduk negeri ini dan Sabah.

“Seorang pegawai polis berasal dari Sarawak antara yang terbunuh semasa pencerobohan kumpulan bersenjata Filipina ke atas Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013.

“Nurul baru-baru ini bertemu dengan Jacel Kiram, anak perempuan Jamalul Kiram yang mendakwa Sultan Sulu, orang yang terbabit secara langsung (pencerobohan di Lahad Datu),” katanya.

Abdullah menambah pada bulan lalu seorang lagi penduduk Sarawak, Bernard Then dibunuh secara kejam oleh penculik Suluk dari Filipina.

Para pegawai Imigresen telah bertemu dengan Nurul Izzah sebaik sahaja beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada pukul 4 petang semalam bagi mengumumkan calon PKR pada pilihan raya negeri yang akan datang.

Seorang pegawai Imigresen memaklumkan bahawa beliau tidak dibenarkan memasuki negeri ini dan diminta meninggalkan Sarawak melalui penerbangan yang kemudiannya.

Abdullah menambah tindakan menyekat itu bukan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan negeri kerana ia memiliki hak untuk memelihara keharmonian dan perpaduan masyarakat negeri ini.

“Jika Sabah boleh menyekat Nurul masuk, kenapa Sarawak tidak boleh?” katanya

“Kami bukan saja sekat Nurul, malah sesiapa sahaja yang mempunyai niat tidak baik dan ingin menyemai benih perbalahan kaum dan agama di negeri ini,” jelas beliau.

Abdullah menambah Nurul Izzah telah menyalahgunakan kebebasan bercakap dengan bersama Jacel, anak Jamalul Kiram yang dianggap sebagai musuh negara. – Bernama