Nurul tekad buktikan kemampuan wanita

Nurul tekad buktikan kemampuan wanita

Oleh Nuri Sufri

Gambar oleh Bahyiah Bakir

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Dis – “Saya sememangnya bercita-cita untuk menjadi seorang kapten dan sekali gus membuktikan kemampuan wanita untuk menceburi bidang yang kebanyakannya diceburi kaum lelaki seperti di dalam Brunei Gas Carrier (BGC).”

Itulah tekad Dayang Nurul Siti Shahrinah binti Shahrolwardi, salah seorang Kadet BGC, yang terpilih ketika ditemui di majlis penandatanganan Kadet BGC di StarLodge Hotel di Jerudong hari ini.

Kadet dalam jurusan Sains Nautika itu berkata, beliau telah lama menanamkan minat dalam bidang berkenaan   dan berasa sangat teruja dengan peluang yang diperolehnya itu serta berazam akan berusaha menghadapi apa jua cabaran yang mendatang termasuk kerja fizikal.

Dayang Nurul Siti Shahrinah.
Dayang Nurul Siti Shahrinah.
Dayang Aisy.
Dayang Aisy.
Awang Mohd Izzat Fadhli.
Awang Mohd Izzat Fadhli.

Seorang lagi kadet yang terpilih menyertai Program Kadet BGC, Dayang Aisy binti Haji Ali berkata, beliau tidak menyangka untuk terpilih kerana banyak persaingan ketika menduduki ujian bertulis, penilaian kadet dan temu duga.

“Daripada program ini, saya akan sedaya upaya menimba sebanyak mungkin pengalaman untuk dikongsi bersama bakal kadet wanita di masa akan datang dan sekali gus menyahut Wawasan 2035 negara,” ujarnya lagi.

Sementara Awang Mohammad Izzat Fadhli bin Embran pula yang akan menyertai Foundation Sarjana Muda dalam Operasi Maritim di Warsash Maritime Academy selama tiga tahun, merancang untuk menambahkan ilmu dan pengetahuan dalam bidang berkenaan sebelum mengambil ijazah sarjana muda untuk membolehkan beliau naik ke pangkat Kapten.

ARTIKEL YANG SAMA