Nurul Wahidatul pelajar terbaik 2015 SMSH

Nurul Wahidatul pelajar terbaik 2015 SMSH

Oleh Ampuan Irma Susanti

 

TEMBURONG, 3 Mac – Sekolah Menengah Sultan Hassan (SMSH), hari ini, telah meraikan para pelajar cemerlang BC GCE ‘O’ Level dan IGCSE tahun 2015 pada majlis anugerah yang berlangsung di Dewan Belalong Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Temburong, di sini.

Dalam majlis itu, lima orang pelajar menerima anugerah terbaik bagi Peperiksaan BC GCE ‘O’ Level dan IGCSE 2015, 17 orang penuntut terbaik mengikut mata pelajaran dan 14 menerima hadiah penghargaan daripada pihak sekolah.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian anugerah dan hadiah ialah Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Professional) Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Dayang Marina Chek binti Bujang.

Pengetua SMSH, Awang Yusuf bin Haji Mohammad dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyatakan bahawa penglibatan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru Sekolah (PIGB) dalam sama-sama menyokong ke arah kesepaduan dalam memberikan sumbangan untuk mencapai kecemerlangan akademik para pelajar di sekolah-sekolah adalah sangat-sangat diperlukan.

Menurutnya, sumbangan mereka turut mempengaruhi peningkatan dan kemajuan sekolah dengan adanya sikap positif dan bekerjasama sama ada berbentuk sumbangan tenaga mahupun buah fikiran.

Dayang Nurul Wahidatul Fikriyah menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Dayang Marina Chek.
Dayang Nurul Wahidatul Fikriyah menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Dayang Marina Chek.

Beliau turut memberitahu bahawa pada tahun ini peratus pelajar sekolah berkenaan yang mendapat 5 ‘O’ ke atas pada 2015 meningkat sebanyak 14.53 peratus kepada 25.79 peratus berbanding 11.26 peratus pada 2014.

Ia merupakan satu pencapaian yang membanggakan walaupun pencapaian tersebut bukanlah menempatkan sekolah ini di tempat zon selesa kerana sasaran yang perlu dicapai adalah lebih tinggi lagi daripada peratus 25.79 peratus.

Manakala itu, Dayang Marina Chek dalam ucapannya pula melahirkan rasa syukur dan tahniah kepada semua penuntut yang berjaya dan juga pihak sekolah yang telah bekerja keras untuk mencapai kejayaan di mana sekolah berkenaan telah berada dalam kedudukan teratas di antara 16 buah sekolah menengah yang menunjukkan peningkatan dalam keputusan GCE ‘O’ Level dengan catatan kepujian meningkat sebanyak 14.53 peratus.

Beliau berkata, ia merupakan peningkatan yang sangat ketara dan boleh dibanggakan walaupun sekolah ini telah menghadapi suasana pembelajaran dan pengajaran yang sangat mencabar, yang mana kekurangan bilik darjah memaksa pihak pengurusan sekolah membuat beberapa perubahan terhadap jumlah pelajar bagi setiap kelas.

Pada majlis itu, anugerah penuntut cemerlang 2015 keseluruhan telah disandang oleh Dayang Nurul Wahidatul Fikriyah binti Ashawary yang mendapat 10 ‘O’Level dan kini sedang melanjutkan pengajian di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah bersama 22 orang pelajar dari sekolah berkenaan yang berjaya diterima melanjutkan pengajian di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dan 23 orang penuntut lagi telah melanjutkan pengajian di institusi pilihan masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA