Nyalaan Lilin peringati mangsa serangan Paris

Nyalaan Lilin peringati mangsa serangan Paris

LONDON, 15 Nov (Bernama) – Desiran angin dingin yang kuat seolah-olah meniupkan semangat perpaduan lebih 1,000 orang, kebanyakannya warga Perancis, yang berkumpul bagi upacara menyalakan lilin yang berlangsung di Trafalgar Square di sini pada Sabtu malam.

Suara mereka yang melaungkan kata-kata semangat dalam bahasa Perancis dan menyanyikan lagu kebangsaan Perancis dengan penuh bersemangat sehingga dapat didengari mereka yang melalui kawasan National Gallery, menaikkan semangat mereka untuk bersama-sama peserta dalam memperingati mereka yang terkorban dalam serangan di Paris pada Jumaat malam.

“Vive La France (Hidup Perancis)”, “nous ne sommes peur (Kami tidak takut)” dan “kami masih berada di sini” antara ungkapan dilaungkan dan tertera pada poster yang dipegang peserta semasa upacara itu.

Suasana pada upacara itu amat mengharukan dan meruntun perasaan dengan peserta mengangkat tinggi lilin masing-masing atau memasang lampu LED pada telefon bimbit mereka sambil mengibarkan bendera kebangsaan Perancis. Terpapar semangat perpaduan dan kasih sayang pada upacara itu.

Orang ramai menyalakan lilin di Kathmandu semalam sebagai memperingati mangsa serangan pengganas di Paris. – Reuters
Orang ramai menyalakan lilin di Kathmandu semalam sebagai memperingati mangsa serangan pengganas di Paris. – Reuters

Bagi Laura Ricaud, 23, warga Perancis yang menetap di London, walaupun tahun 2015 menyaksikan Perancis sering diancam dan diserang pengganas, warganegara Perancis kekal bersatu dan cuba menghadapi isu itu secara bersama-sama dengan tenang.

“Kami kekal bersatu walaupun kami tidak berada di negara kami. Kami tetap bersama-sama dalam menentang keganasan (serangan pengganas). Ia perkara betul untuk dilakukan. Tidak akan bertindak ekstrem seperti mereka (pengganas). Kami tidak seperti mereka,” katanya kepada Bernama.

Menurut laporan akhbar The Guardian, upacara menyalakan lilin itu dianjurkan dua warga Perancis yang menetap di London, Theophile Rampal dan Jean-Dominique Nguele. Peserta pada upacara itu beransur-ansur bersurai pada 10 malam.

Sekurang-kurangnya 120 orang terbunuh dalam serangan berdarah di beberapa lokasi di Paris pada Jumaat malam, mendorong Presiden Perancis Francois Hollande memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan seluruh negara.

ARTIKEL YANG SAMA