Nyaris dibaham buaya

Nyaris dibaham buaya

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 30 Nov – Seorang pekerja lelaki warga asing mendakwa nyaris dibaham seekor buaya ketika sedang berjalan di kawasan tepi jalan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan 7 berdekatan dengan Sekolah Menengah PJN Pengiran Haji Abu Bakar di sini, malam semalam.

Majikan lelaki tersebut, hari ini, memberitahu Media Permata bahawa beliau dikejutkan oleh pekerjanya yang berlari menuju ke rumahnya di kawasan berdekatan mendakwa dia hampir-hampir dibaham seekor buaya yang berada di bahu jalan dekat longkang.

“Pada mulanya, saya menyangka hanya seekor biawak, lalu pergi ke kawasan yang dikatakan untuk mengesahkan dan kami menyuluh ke dalam longkang dan mendapati ia adalah seekor buaya yang besar sepanjang kira-kira enam ke tujuh kaki,” katanya.

Lelaki yang hampir menjadi mangsa itu menceritakan, semasa kejadian beliau dalam perjalanan dari tempat kediamannya yang berdekatan untuk menuju ke pasar raya berdekatan dan ketika keadaan sekeliling gelap ekoran semua kawasan Kampung Pandan mengalami gangguan bekalan elektrik.

Lelaki pekerja asing yang hampir menjadi mangsa baham seekor buaya.
Lelaki pekerja asing yang hampir menjadi mangsa baham seekor buaya.

“Semasa saya berjalan, saya terdengar seperti bunyi ganjil dekat dengan kaki saya, lalu saya suluh menggunakan telefon bimbit dan terkejut besar melihat seekor buaya yang hampir menggigit kaki saya, lalu saya berlari menuju ke rumah majikan saya dan memberitahunya,” katanya.

Setelah mengesahkan binatang itu adalah seekor buaya, majikan lelaki itu telah melaporkan ke Jabatan Bomba dan Penyelamat dan turut memaklumkan Ketua Kampung Pandan ‘B’, Haji Abdul Malek bin Abu Bakar yang kemudiannya turut berada di tempat kejadian.

Sementara itu, Haji Abdul Malek memberitahu Media Permata, hari ini, kehadiran buaya sudah semakin merisaukan di kawasan kampung tersebut dan kali ini seorang pejalan kaki hampir-hampir menjadi mangsa.

“Apa yang kita bimbangkan adalah pejalan kaki, terutama sekali mereka yang berjoging di awal pagi dan juga kanak-kanak sekolah yang sering menunggu orang tua mereka di kawasan yang terdapatnya longkang besar,” katanya.

Baru-baru ini, beberapa ekor buaya juga telah dilaporkan muncul di kawasan berdekatan dengan longkang besar di belakang rumah kediaman penduduk di sana dan beberapa papan tanda, peringatan terdapatnya buaya, juga telah dipasang di kawasan-kawasan berdekatan longkang besar di kampung itu bagi mengingatkan orang ramai supaya tidak mendekati kawasan yang dikenal pasti terdapatnya buaya.

Bagaimanapun, kemunculan buaya pada malam semalam adalah di luar dugaan, kerana kawasan tersebut merupakan tepi jalan dan memang menjadi tempat laluan pejalan kaki.

ARTIKEL YANG SAMA