Nyaris dibaham buaya semasa merumput

Nyaris dibaham buaya semasa merumput

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 28 Dis – Seorang penduduk yang tinggal di Rancangan Perpindahan Negara Kampung Pandan 6 nyaris dibaham buaya semasa mencabut rumput di belakang rumahnya yang berdekatan dengan sistem perparitan di Kuala Belait, Sabtu lalu.

Adiknya, Haji Ismawi bin Haji Munir semasa menceritakan mengenai kejadian itu berkata, semasa itu abangnya yang tidak ingin dikenali, sedang mencabut rumput awal petang tadi apabila seekor buaya cuba menerkam untuk menariknya masuk ke longkang namun abangnya sempat mengambil kayu berdekatan lalu memukulnya.

Buaya tersebut terus berenang ke dalam sistem perparitan dan menghilang, ujar beliau.

“Abang saya kebetulan betul-betul berada di pinggir sistem perparitan tersebut. Tiba-tiba, ada percikan besar lalu abang saya menoleh ke belakang dan melihat buaya yang cuba menerkamnya,” cerita Haji Ismawi di tempat kejadian.

Tempat berjoging berhampiran rumah abang Haji Ismawi di Kampung Pandan.
Tempat berjoging berhampiran rumah abang Haji Ismawi di Kampung Pandan.

Abangnya berjaya melarikan diri dengan melompat ke atas pagar logam pendek yang memisahkan sungai dari tanah itu.

Haji Ismawi berkata, kejadian itu mengingatkannya kepada peristiwa yang berlaku ke atas seorang kanak-kanak yang diterkam oleh seekor buaya di Sungai Teraban sebelum ini dan menekankan betapa bahayanya keadaan itu jika air naik ataupun tiada pagar untuk memisahkan tanah dari sungai tersebut.

“Kami ingin mencadangkan jikalau boleh dipasang penghadang di tempat-tempat dan celah masuk air dari sungai ke sistem perparitan tersebut agar tiada buaya yang akan dapat memasuki kawasan-kawasan perumahan, kerana berdekatan rumah abang saya ini adalah tempat untuk orang lain berlari membuat senaman,” ujarnya lagi.

Kelibat buaya sememangnya mudah dilihat walaupun jarang timbul terutamanya di Taman Permainan Lagoon di Kampung Pandan berdekatan dengan Masjid RPN Kampung Pandan dan Haji Ismawi mencadangkan agar pihak-pihak yang berwajib akan dapat mencari jalan untuk menghindari sebarang musibah seperti kejadian yang hampir-hampir meragut jiwa abangnya.

ARTIKEL YANG SAMA