Nyatakan teknologi nano pada produk – MOSTI

Nyatakan teknologi nano pada produk – MOSTI

ALOR SETAR, 10 Ogos (Bernama) – Syarikat yang mengeluarkan produk mempunyai elemen teknologi nano diminta menyatakannya pada label barangan sebagai usaha memperluaskan penggunaan produk itu di negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Noorul Ainur Mohd Nur berkata, ada syarikat enggan memaparkan maklumat berkenaan pada produk mereka.

Beliau berkata, produk elektronik seperti lampu diod pemancar cahaya (LED) serta cakera keras dan barangan kosmetik yang dihasilkan di negara ini mempunyai elemen teknologi nano yang lebih mesra alam, tahan lama dan jimat.

“Pemain industri juga perlu memaklumkan berapa banyak penggunaan teknologi nano pada produk mereka bagi memudahkan kementerian mendapatkan maklumat berkaitan penggunaan teknologi itu.

“Di negara luar mereka telah membudayakan teknologi tersebut dan kementerian berusaha membudayakan penggunaan teknologi yang diperkenalkan pada 2000 itu kepada rakyat di negara ini,” katanya selepas merasmikan Festival Kreativiti dan Nano di Pusat Sains Negara Wilayah Utara di sini, hari ini.

Datuk Seri Noorul Ainur Mohd Nur. – Bernama
Datuk Seri Noorul Ainur Mohd Nur. – Bernama

Noorul Ainur berkata, kementerian mewujudkan Nano Technology Graphene Plan sejak dua tahun lepas bagi industri dan rakyat memahami serta menggunakan teknologi itu dalam kehidupan seharian.

Katanya, pihaknya akan memastikan produk menerusi sektor pertanian dan makanan, tenaga dan alam sekitar, perubatan dan elektronik akan menggunakan teknologi nano.

Beliau berkata, penggunaan teknologi yang lebih mesra alam dan jimat itu akan mencecah USD3 trilion di pasaran dunia pada masa depan.

“Kita tidak mahu ketinggalan dan mahu merebut peluang dalam industri teknologi tersebut dalam usaha mencapai taraf negara maju,” katanya.

Noorul Ainur berkata kementerian turut melaksanakan pelbagai program membudayakan teknologi sains dan inovasi di peringkat akar umbi.

Jelasnya, inovasi sosial juga perlu disematkan dalam diri masyarakat, terutama di kalangan generasi muda untuk menjadikan mereka gemar mencipta produk inovasi.

“Contohnya, jerami padi boleh jadikan baja dan tidak perlu bakar begitu sahaja yang mencemarkan alam sekitar. Hasil kreativiti kanak-kanak juga boleh diterapkan menerusi penciptaan produk sains,” katanya.