NZ sedia terima 750 pelarian Syria

NZ sedia terima 750 pelarian Syria

WELLINGTON, 7 Sept (AFP) – New Zealand hari ini mengumumkan ia akan mengambil 750 orang pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang, selepas menerima tekanan supaya memberi respons kepada krisis kemanusiaan di Eropah.

Menteri Imigresen Michael Woodhouse berkata 150 buah tempat akan ditawarkan kepada warga Syria dibawa kuota sedia ada kerajaan dan tambahan 600 orang dari negara yang dicengkam peperangan itu akan diterima menerusi pengambilan kecemasan khas. New Zealand pada masa ini mempunyai kuota tahunan orang pelarian bagi sebanyak 750 orang yang tidak meningkat sejak 1987.

“Seperti kebanyakan warga New Zealand, kerajaan sangat mengambil berat akan krisis kemanusiaan yang kini melanda Syria dan Eropah yang jelas semakin teruk kebelakangan ini,” kata Woodhouse.

Langkah itu merupakan perubahan bagi kerajaan konservatif selepas Perdana Menteri John Key pada minggu lalu menolak mengubah pengambilan orang pelarian sehingga tahun depan.

Namun orang awam menuntut tindakan selepas gambar-gambar badan kecil anak kecil warga Syria bernama Aylan Kurdi hanyut di pantai Turki yang mengakibatkan kesan krisis pada manusia menjadi tumpuan hebat.

Berita itu muncul sehari selepas negara jiran Australia, yang juga menerima tekanan supaya berusaha lebih lagi, berkata ia berhasrat menerima lebih ramai orang pelarian Syria tetapi tanpa menambah kuota 13,750 orang pelarian sedia ada bagi tahun 2015-16.

Namun dalam ulasan baru hari ini, Perdana Menteri Tony Abbott membiarkan isu itu terbuka, dengan mengatakan beliau menanti nasihat dari menteri imigresen yang pada masa ini berada di Eropah, sebelum mengumumkan keputusan muktamad kerajaan.

“Niat tegas kerajaan ialah untuk mengambil bilangan ramai orang dari Syria tahun ini,” kata Abbot memberitahu parlimen.

“Wanita dan kanak-kanak di dalam khemah, terutamanya, wanita dan kanak-kanak dari minoriti yang dianiaya di khemah-khemah, mereka berhak mendapat respons belas kasihan dari Australia.”

Woodhouse berkata langkah New Zealand serupa dengan responsnya kepada konflik di bekas Yugoslavia pada tahun 1999 apabila ia menerima penambahan 600 orang pelarian.

ARTIKEL YANG SAMA