NZ usaha selamat pelancong terkandas

NZ usaha selamat pelancong terkandas

WELLINGTON, New Zealand, 14 Nov – New Zealand berusaha untuk menghantar helikopter tentera dan kapal laut untuk menyelamatkan kira-kira 1,000 pelancong dan ratusan penduduk yang masih lagi terkandas di bandar pantai Kaikoura selepas gempa bumi kuat hari ini memutuskan akses kereta api dan kenderaan lain.

Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud itu melanda South Island sekitar tengah malam dengan mencetuskan tsunami kecil serta mengorbankan dua orang. Ia juga menjatuhkan batu-batu kecil dan lumpur di seluruh lebuh raya serta mengakibatkan jalan raya merekah.

Kaikoura yang menempatkan kira-kira 2,000 penduduk itu merupakan destinasi popular dalam kalangan pelancong yang menyertai ekspedisi melihat ikan paus atau mereka yang hendak bermalam untuk menyaksikan pemandangan gunung.

Namun gempa bumi telah memutuskan bekalan air dan sistem pembetungan serta menyebabkan ramai orang berdepan kesukaran.

“Dari semua arah, Kaikoura sepenuhnya telah terpisah,” kata Pemangku Komander Pasukan Tentera Bersama New Zealand, Laksamana Pertama Udara Darryn Webb memberitahu Agensi Berita AP.

Orang awam sempat melihat kerosakan pada jalan raya di dermaga Wellington selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda South Island di Wellington pada 14 November. – AFP
Orang awam sempat melihat kerosakan pada jalan raya di dermaga Wellington selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda South Island di Wellington pada 14 November. – AFP

Webb berkata pihak tentera merancang untuk menggunakan empat helikopter NH90 pada Selasa yang boleh mengangkut kira-kira 18 orang pada satu masa untuk keluar dari bandar itu.

Menurutnya lagi, kapal itu juga meninggalkan Auckland pada malam Isnin yang berpotensi boleh membawa ratusan orang jika keadaan cuaca mengizinkan.

“Kami akan membantu mereka seramai yang boleh bersama barang milik mereka secepat yang mungkin,” kata Webb.

Menurutnya ramalan kaji cuaca tidak kelihatan begitu bagus dan operasi itu akan mengambil masa selama beberapa hari.

Katanya lagi, jika diperlukan, pesawat pengangkut tentera C-130 mungkin akan menggugurkan minyak, air, makanan dan bekalan lain ke bandar itu.

Di tempat lain, gempa bumi kuat terus menggegarkan New Zealand hari ini, menggoncangkan perasaan gemuruh pada penduduk.

Negara itu masih lagi menanggung kemusnahan yang disaksikannya pada 2011 apabila gempa bumi melanda bandar Christchurch dan membunuh 185 orang.

Gempa bumi itu salah satu bencana paling terburuk melanda New Zealand, mengakibatkan kemusnahan berjumlah kira-kira AS$25 bilion.

Gempa bumi hari ini telah mengakibatkan kemusnahan di Wellington, bandarnya, dan juga dapat dirasakan di Christchurch. Kata penduduk, gegaran itu berlaku selama kira-kira tiga minit.

Polis berkata seorang terbunuh di Kaikoura dan seorang lagi di Gunung Lyford, resort ski berhampiran. Beberapa yang lain mengalami kecederaan ringan di Kaikoura, kata jurucakap polis, Rachel Purdom.

Perdana Menteri John Key melihat kemusnahan di Kaikoura menggunakan helikopter ketika kejutan lanjur mencetuskan tanah runtuh. Kereta-kereta boleh dilihat terdampar ke tepi dan sebahagian jalan jelasnya tidak dapat dilalui.

“Ia benar-benar musnah,” kata Key.

Dia kemudian mengunjungi kawasan itu dan bertemu dengan para penduduk, dengan mengatakan usaha pembersihan mungkin memakan belanja sekitar bilion dolar sementara pembersihan jalan dan jalan-jalan yang tersekat boleh mengambil masa kira-kira berbulan-bulan lamanya. – AP

ARTIKEL YANG SAMA