Obama, Abe, Modi akan berucap pada ABIS 2015

Obama, Abe, Modi akan berucap pada ABIS 2015

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Agensi) – Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama; Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan Perdana Menteri India, Nerendra Modi adalah antara tokoh yang akan berucap pada Sidang Kemuncak Pelaburan dan Perniagaan ASEAN (ABIS) edisi ke-12 sempena Sidang Kemuncak ASEAN hujung minggu ini.

ABIS 2015 yang akan diadakan di Hotel Shangri-La pada 20 dan 21 November ini akan menjadi platform utama input sektor swasta dan perbincangan mengenai isu ekonomi di rantau ini.

Sidang kemuncak itu dianjurkan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), wakil yang memegang mandat sektor swasta dalam ASEAN.

ABIS 2015 yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi ASEAN, akan menampilkan lebih 20 penceramah dari seluruh dunia merangkumi tokoh pemikir, pakar ekonomi, usahawan dan sekumpulan pakar lain.

Beberapa Menteri Ekonomi ASEAN juga akan mengambil bahagian dan membincangkan mengenai kemajuan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Pengerusi ABIS 2015, Tan Sri Munir Majid, berkata lebih 800 peserta daripada pelbagai syarikat antarabangsa, konglomerat serantau dan perniagaan seluruh dunia akan mengambil bahagian dalam persidangan itu nanti.