Obama akan lawat mangsa serangan di Oregon

Obama akan lawat mangsa serangan di Oregon

WASHINGTON, 6 Okt (AFP) – Presiden Barack Obama akan pergi ke Oregon Jumaat ini untuk menemui anggota keluarga para mangsa kejadian penembakan Kolej Komuniti Umpqua, seorang pegawai Rumah Putih memberitahu wartawan.

Seorang lelaki bersenjata melancarkan penembakan amuk pada 1 Oktober yang mengorbankan sembilan orang di Kolej yang terletak di Roseburg, Oregon, sebelum membunuh diri ketika polis mengepungnya.

Beberapa jam selepas kejadian itu, Obama mengadakan sidang media yang mana beliau membidas Kongres yang dikawal oleh pihak pembangkang Republikan kerana membantah ‘sebarang jenis perundangan senjata.”

Beliau kemudian memberi amaran bahawa kegagalan untuk bertindak ke atas kawalan senjata adalah ‘keputusan politik’ dan berikrar akan mendesak bagi reformasi selepas penembakan beramai-ramai terbaru di Amerika itu.

Mathew Downing (tengah) antara mangsa yang terselamat daripada serangan penembakan di kolej itu pada 01 Oktober lalu – AFP
Mathew Downing (tengah) antara mangsa yang terselamat daripada serangan penembakan di kolej itu pada 01 Oktober lalu – AFP

“Obama akan pergi ke Roseburg, Oregon secara tertutup untuk mengunjungi para anggota keluarga mangsa kejadian tembakan itu,” pegawai Rumah Putih itu berkata lewat semalam, dengan merahsiakan identitinya.

Kejadian tembakan itu, terbaru dalam siri-siri serangan serupa dalam beberapa tahun kebelakangan ini di kolej-kolej dan sekolah-sekolah di AS, telah menghidupkan semula perdebatan sengit berhubung kawalan senjata api.

Kejadian tembakan beramai-ramai terakhir di sebuah sekolah AS telah berlaku pada tahun 2012 apabila 20 orang pelajar sekolah rendah dan enam orang dewasa terbunuh di Sekolah Rendah Sandy Hook di Connecticut.

Presiden telah pun dijadualkan mengadakan lawatan empat hari pada hujung minggu ke pantai barat, terutamanya bertujuan untuk mengutip dana bagi Parti Demokratik beliau.

ARTIKEL YANG SAMA