Obama akhiri lawatan ke Kenya

Obama akhiri lawatan ke Kenya

NAIROBI, Kenya, 26 Julai (Agensi) – Presiden Barack Obama hampir mengakhiri lawatan bersejarahnya ke bumi yang menganggap beliau anak lelaki tempatan, dengan ucapan kepada penduduk Kenya.

Obama juga merancang bercakap kepada belia Kenya dan menemui para pemimpin sivik sebelum tiba lewat hari ini di Habsyah, perhentian kedua dan terakhir lawatan terbaru beliau ke benua itu. Mendiang ayah presiden dilahirkan dan dikebumikan di Kenya dan penduduknya bertahun-tahun lamanya menantikan peluang menyambut kembali Obama sebagai presiden.

Beliau telah mencipta sejarah dengan menjadi presiden pertama Amerika Syarikat (AS) yang masih memegang jawatannya melawat Kenya, apabila beliau tiba lewat Jumaat lalu.

Ucapan Obama kepada hadirin yang bilangan mereka beribu-ribu di arena tertutup dijangka lebih menumpu pada wawasan beliau bagi masa depan Kenya dan tema meluas hubungan AS-Kenya dari pemikiran peribadi beliau tentang kunjungan pertama beliau ke tanah air nenek moyang sejak kunjungan pada 2006 apabila beliau adalah seorang senator AS.

Kenya mempunyai salah satu ekonomi yang paling pesat berkembang di benua itu dan adalah pusat komersial Afrika Timur, tetapi juga gigih berusaha mengatasi cabaran terhadap kemakmurannya yang diperlihatkan oleh rasuah meluas dan ancaman militan al-Shabab berpangkalan di negara jiran, Somalia.

Presiden Barack Obama ketika menyampaikan ucapan di Nairobi, Kenya. - Reuters
Presiden Barack Obama ketika menyampaikan ucapan di Nairobi, Kenya. – Reuters

Obama akan juga menekankan usaha untuk menyokong belia Afrika dengan singgah di pusat serantau bagi Inisiatif Para Pemimpin Muda Afrika, satu program bagi membantu memupuk generasi pemimpin Afrika akan datang. Presiden Kenya Uhuru Kenyatta semalam berkata pada sidang media dengan Obama bahawa Obama akan dikenang di Afrika kerana menumpu pada anak-anak muda benua itu.

Hampir satu dalam tiga warga Afrika adalah berusia 10-24 dan kira-kira 60 peratus jumlah penduduk Afrika berusia kurang 35 tahun, menurut kerajaan AS.

Di Habsyah, sebuah lagi negara semenanjung timur laut Afrika yang akan mendapat kunjungan pertama dari Presiden AS masa kini, Obama merancang mengadakan pertemuan dengan presiden dan perdana menteri.

Obama akan bercakap kepada benua itu dari ibu pejabat Kesatuan Afrika(AU) yang berperanan dalam keamanan dan keselamatan ke atas benua itu.

Ia adalah kali pertama seorang presiden Amerika berucap di AU.

ARTIKEL YANG SAMA