Obama anjur majlis ‘Iftar’

Obama anjur majlis ‘Iftar’

WASHINGTON, 24 Jun (Agensi) – Presiden Barack Obama menyatakan bahawa rakyat Amerika Syarikat (AS) bersatu dalam menolak penindasan ke atas mana-mana kumpulan agama atau etnik dalam ucapannya sempena bulan Ramadan.

Obama membuka pintu Rumah Putih kepada umat Islam AS dalam satu majlis berbuka puasa kelmarin.

“Walau apa jua kepercayaan, kita semua adalah satu keluarga,” kata Obama pada majlis itu yang dihadiri oleh 40 anggota komuniti diplomatik dan beberapa ahli Kongres.

Dalam ucapannya, Obama memberi pengiktirafan kepada beberapa tetamu muda termasuk Samantha Elauf yang berani menjejakkan kaki ke Mahkamah Agung bagi mempertahankan haknya untuk bertudung.

Wanita itu berusia 17 tahun pada 2008 apabila dia ditolak daripada jawatan jurujual di kedai Abercrombie Kids di Tulsa, Oklahoma kerana memakai tudung semasa sesi temuduga.

Presiden Amerika berbual dengan tetamu ketika majlis berbuka puasa di Rumah Putih. – AFP
Presiden Amerika berbual dengan tetamu ketika majlis berbuka puasa di Rumah Putih. – AFP

“Dia berazam kental untuk mempertahankan haknya memakai hijab. Samantha sanggup menjejakkan kaki ke Mahkamah Agung. Saya sendiri tidak pernah berbuat demikian pada usia tersebut,” ujar Obama.

Obama juga berucap tentang tiga orang Islam yang terbunuh pada 10 Februari lalu di Chapel Hill, Carolina Utara di samping sembilan ahli gereja berkulit hitam yang dibunuh di Charleston, Carolina Selatan pada minggu lalu.

“Sebagai rakyat AS, kita menuntut supaya tiada siapa pun ditindas berdasarkan latar belakang atau rupa paras mereka atau bagaimana mereka beribadat. Kami berdiri bersama menentang tindakan kebencian seperti ini,” tegasnya.