Obama bimbang video perilaku polis

Obama bimbang video perilaku polis

CHICAGO, 26 Nov (AFP) – Presiden Barack Obama semalam berkata beliau ‘amat bimbang’ dengan video yang memperlihatkan anggota polis kulit putih Chicago yang menembak mati seorang remaja kulit hitam, dalam kejadian terbaru yang merunsingkan AS.

Rakaman grafik yang dikeluarkan sejurus selepas pegawai Jason Van Dyke didakwa atas tuduhan membunuh Selasa lalu telah mencetuskan perdebatan tentang penggunaan kekerasan oleh penguatkuasa undang-undang di AS, dengan Chicago dalam keadaan gelisah.

Para pembantah menyamakan pembunuhan Laquan McDonald dengan pembunuhan Michael Brown, remaja kulit hitam yang ditembak mati oleh seorang anggota polis kulit putih di Ferguson, MIssouri tahun lalu, yang mencetuskan tunjuk perasaan selama 15 bulan di bandar-bandar besar AS berhubung kekejaman polis yang dapat dilihat terhadap lelaki kulit hitam.

Sekumpulan kecil penunjuk perasaan berada di jalan raya Chicago dalam cuaca dingin bagi malam kedua berturut-turut semalam, dilaporkan bertelingkah dengan pegawai-pegawai polis.

Polis Chicago pada awalnya berkata McDonald dalam keadaan mabuk akibat pengalaman dadah halusinogen PCP, yang bertindak tidak menentu dan kemudian menerpa para pegawai dengan pisau apabila dia ditembak 16 kali pada Oktober 2014.

Tetapi video dashcam polis menunjukkan remaja lelaki berusia 17 tahun itu berjalan pergi apabila Van Dyke melepaskan tembakan dan tidak membuat gerak isyarat yang mengancam untuk mewajarkan penggunaan kekerasan yang membawa maut, menurut para pendakwa.

“Seperti kebanyakan warga Amerika, saya amat bimbang dengan rakaman yang memaparkan penembakan mati Laquan McDonald, 17 tahun,” Obama menulis di ruangannya di Facebook.

Pihak pendakwa dan para pegawai Chicago menerima tekanan teruk kerana cuba menyekat penyiaran video itu dan mengambil masa begitu lama untuk mengenakan dakwaan ke atas Van Dyke.

Ini adalah kali pertama seorang pegawai polis Chicago didakwa atas tuduhan membunuh kelas pertama bagi kematian ketika bertugas dalam tempoh lebih 30 tahun, lapor Chicago Tribune.