Obama desak Nawaz selesaikan isu berbangkit

Obama desak Nawaz selesaikan isu berbangkit

WASHINGTON, 22 Okt – Presiden Barack Obama dijangka mendesak Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif mengenai hubungan dengan Taliban, keselamatan nuklear dan pelbagai isu lain hari ini apabila sekutu berkenaan bertemu di Rumah Putih.

Meskipun terdapat usaha untuk menyelesaikan perpecahan di sebalik persahabatan, senyuman dan persetujuan, isu keselamatan lama mungkin menguasai perbincangan Pejabat Oval.

Hubungan Islamabad dengan Taliban Afghan, sokongan untuk kumpulan keganasan yang mensasarkan India dan Amerika Syarikat dan perkembangan gudang nuklear yang semakin pesat dilihat oleh Washington sebagai masalah keselamatan yang besar.

Hubungan Washington dengan Islamabad adalah isu yang sensitif, hasil daripada rasa tidak percaya di antara satu sama lain.

Namun hubungan berubah menjadi krisis apabila dalang 9/11 Osama bin Laden didapati tinggal di bandar garison Pakistan.

Nawaz bertemu John Kerry semalam dalam rangka lawatannya sebelum bertemu Obama di Rumah Putih bagi membincangkan pelbagai isu di sini. – AFP
Nawaz bertemu John Kerry semalam dalam rangka lawatannya sebelum bertemu Obama di Rumah Putih bagi membincangkan pelbagai isu di sini. – AFP

Sejak itu, Sharif telah kembali kepada pejabat perdana menteri dan berusaha mendapatkan kerjasama, tetapi pegawai berkata tidak adanya perubahan dalam sikap perkhidmatan keselamatan berpengaruh Pakistan.

Sebagai membuktikan kuasa tersebut, lawatan Sharif dilaporkan akan disokong oleh lawatan daripada ketua Perkhidmatan Risikan Pakistan dan Ketua Turus Tentera Rasheel Sharif.

“Pokoknya adalah wujudnya perselisihan mendalam di antara kedua-dua negara berkenaan,” kata Michael Kugelman daripada Pusat Woodrow Wilson.

“AS telah hilang sabar selepas bertahun-tahun membekalkan senjata dan wang kepada tentera Pakistan, dan Pakistan belum melakukan apa yang diminta oleh AS dari segi bertindak keras ke atas militan.”

Mesyuarat diadakan ketika Rumah Putih semakin mengalih tumpuannya di Asia Selatan kepada pesaing sengit Pakistan India. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA