Obama di Cuba pulih hubungan

Obama di Cuba pulih hubungan

HAVANA, 21 Mac (Reuters) – Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, tiba di Cuba kelmarin (20 Mac) dalam satu lawatan bersejarah yang membuka lembaran baru dalam pelibatan Amerika dengan kerajaan Komunis di pulau itu, selepas permusuhan berdekad-dekad antara bekas musuh Perang Dingin itu.

Obama mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jose Marti Havana menaiki pesawat Air Force One, jet presiden yang tertera terpampang ‘United States of America’ di seluruh badan pesawat itu – pemandangan yang hampir tidak dapat dibayangkan sebelum pengenduran ketegangan pada Disember 2014.

Lawatan tiga hari itu, yang pertama oleh Presiden Amerika ke Cuba dalam 88 tahun, kemuncak pembukaan hubungan diplomatik yang diumumkan Obama dan Presiden Cuba, Raul Castro, pada Disember 2014, yang menamatkan kerenggangan era Perang Dingin yang bermula apabila revolusi Cuba menggulingkan kerajaan proAmerika pada 1959.

“Ia satu peluang bersejarah untuk melibatkan diri secara langsung dengan rakyat Cuba,” Obama memberitahu kakitangan di Kedutaan Amerika, yang baru dibuka semula, yang berkumpul di sebuah hotel, persinggahan pertama selepas beliau tiba pada sebelah petang.

Sekumpulan rakyat Cuba melihat dari balkoni dan belakang rumah rombongan Obama dibawa melalui pusat bandar.

Presiden Barack Obama ketika mengunjungi Old Havana bersama keluarganya pada permulaan lawatan tiga hari ke Cuba, di Havana pada 20 Mac. – Reuters
Presiden Barack Obama ketika mengunjungi Old Havana bersama keluarganya pada permulaan lawatan tiga hari ke Cuba, di Havana pada 20 Mac. – Reuters

Ada rakyat Cuba menggagahi hujan lebat dan keselamatan ketat untuk menyambut mereka, sambil melaungkan ‘Viva Obama, Viva Fidel’, apabila Obama dan keluarganya beredar selepas makan malam di sebuah kawasan kejiranan buruk.

Lawatan Obama, yang ditemani wanita pertama Michelle Obama, ibunya dan anak perempuan mereka, Sasha dan Malia, kebanyakannya berbentuk pelancongan pada hari pertama.

Semasa lawatan hari ini, Obama turut mengunjungi tempat-tempat menarik di Cuba dan beralih kepada urusan perniagaan negara dalam lawatan bersejarahnya sambil menekan Presiden Raul Castro bagi reformasi ekonomi dan demokratik ketika mendengar aduan tentang sekatan ekonomi AS.