Obama gesa perangi IS di Libya

Obama gesa perangi IS di Libya

WASHINGTON, 29 Jan – Presiden AS Barack Obama semalam mengarahkan penasihat keselamatan negaranya supaya memerangi usaha IS untuk berkembang ke Libya dan negara lain, kata Rumah Putih.

Militan IS telah mengambil kesempatan ke atas keadaan kelam-kabut di Libya untuk memantapkan diri mereka di bandar Sirte, dan mereka telah melancarkan beberapa serangan ke atas kilang minyak pada bulan ini.

“Presiden mengarahkan kumpulan keselamatan negaranya supaya meneruskan usaha untuk memperkukuh pentadbiran dan menyokong usaha cegah keganasan berterusan di Libya dan negara lain di mana ISIL telah berusaha untuk memantapkan kedudukan,” kata kenyataan Rumah Putih, menggunakan akronim untuk Islamic State.

Awal semalam, Setiausaha Pertahanan Ash Carter memberitahu satu persidangan akhbar bahawa Islamic State sedang menubuhkan tapak latihan di Libya dan mengalu-alu pejuang asing seperti yang dilakukannya di Iraq dan Syria dalam tahun-tahun sebelum ini.

“Dan kami tidak mahu keadaan yang sama seperti di Syria dan Iraq. Itulah sebabnya kenapa kami sedang mengawasinya dengan ketat. Itulah sebabnya kenapa kami mengemukakan pilihan untuk apa yang mungkin kami lakukan pada masa depan.”

Pada Rabu, jurucakap Pentagon Peter Cook berkata Amerika Syarikat telahpun menghantar “sejumlah kecil kakitangan tentera” ke Libya untuk “mengadakan perbualan dengan tentera tempatan bertujuan mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang apa yang sedang berlaku di sana.”

Huru-hara politik di Libya telah menghambat usaha komuniti antarabangsa untuk bergabung dengan perikatan briged pemberontak bersenjata yang pernah bertempur menentang pemimpin veteran Muammar Gaddafi, yang digulingkan pada tahun 2011. – Reuters