Obama kerah 450 tentera ke Iraq

Obama kerah 450 tentera ke Iraq

WASHINGTON, 11 Jun (Reuters) – Presiden Barack Obama semalam mengarahkan pengerahan 450 orang lagi anggota tentera ke kawasan tengah Iraq yang majoriti penduduknya kaum Sunni bagi membantu tentera Iraq untuk cuba merampas kembali wilayah yang ditawan Negara Islam (IS).

Rancangan untuk meningkatkan keanggotaan kontinjen Amerika Syarikat yang kini berjumlah 3,100 orang di Iraq dan membuka pusat operasi baru berhampiran tempat pertempuran di wilayah Anbar menandakan perubahan dalam strategi bagi Obama, yang berdepan tekanan semakin meningkat untuk melakukan lebih lagi bagi menumpulkan momentum pemberontak.

Bagaimanapun dengan Obama tetap dengan pendiriannya enggan menghantar tentera ke barisan hadapan, pengumuman oleh Rumah Putih gagal untuk mendiamkan para pengkritik yang berkata peranan tentera As tidak mencukupi untuk menukar keadaan peperangan di Iraq.

Pegawai-pegawai AS berharap kehadiran tentera AS akan memperkukuhkan kedudukan di Anbar dengan membantu tentera Iraq merampas semula Ramadi, ibu negeri wilayah tersebut, yang ditawan pemberontak bulan lepas yang sekali gus mendedahkan kelemahan dan kekurangan tentera Iraq.

Presiden AS Barack Obama. – AFP
Presiden AS Barack Obama. – AFP

Para penasihat tentera AS, yang akan dikerahkan ke kawasan yang menjadi kubu kuat kempen IS, akan menawarkan nasihat taktikal kepada anggota tentera Iraq mengenai bagaimana menjalankan operasi, kata Pentagon.

Satu cabaran yang kompleks bagi tentera AS, yang akan mewujudkan hab latihan di pangkalan tentera Taqaddum hanya kira-kira 25 kilometer dari Ramadi, akan membolehkan mereka dengan mudah menghubungi para pejuang suku kaum Sunni, dengan ramai kalangan mereka tidak mempercayai kerajaan diketuai puak Syiah di Baghdad.

Pegawai-pegawai AS mahu mengintegrasikan mereka ke dalam tentera Iraq dan mengurangkan pergantungannya dengan militia Syiah yang mendapat sokongan Iran yang turut menyertai kempen menentang IS.