Obama luang masa bersama pakar hutan belantara di Alaska

Obama luang masa bersama pakar hutan belantara di Alaska

ALASKA, 20 Dis (Agensi) – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama baru-baru ini meluangkan masa bersama pakar hutan belantara, Bear Grylls dalam rakaman siri Running Wild terbitan rangkaian televisyen NBC.

Episod selama satu jam melibatkan Obama yang dirakam September lalu itu ditayangkan pada Khamis lalu.

Rakaman berdekatan glasier Harding Ice Field di kawasan Taman Negara Kenai Fjords itu antara lain menunjukkan beliau tiba dengan helikopter khas diiringi pasukan keselamatan udara dan darat yang mengekori rapat di belakang jurukamera sepanjang rakaman berjalan.

Walaupun kebanyakan tetamu Grylls sebelum ini dipaksa memakan serangga atau haiwan liar serta melakukan aksi lasak dan ngeri, Obama cuma diberi makan ikan salmon mentah yang separuh dimakan seekor beruang.

Presiden AS itu turut berbual dengan Grylls tentang tindakan meminum air kencing sendiri untuk kelangsungan hidup tetapi beliau enggan melakukannya untuk sesi rakaman tersebut.

Gambar fail bertarikh 2 September menunjukkan Presiden Barack Obama ketika melihat ikan salmon kering atas rak ketika bertemu dengan nelayan tempatan dan keluarga mereka di Pantai Kanakanak di Dillingham, Alaska. – AFP
Gambar fail bertarikh 2 September menunjukkan Presiden Barack Obama ketika melihat ikan salmon kering atas rak ketika bertemu dengan nelayan tempatan dan keluarga mereka di Pantai Kanakanak di Dillingham, Alaska. – AFP

“Rasanya jika sudah terpaksa, saya mungkin menimbangkan minum air kencing sendiri, itu pun jika alternatifnya adalah kematian. Saya tidak akan jadikannya satu amalan dan saya takkan lakukannya hanya untuk sebuah rancangan televisyen,” katanya.

Obama turut berkongsi pengalaman hidup yang terbatas di White House dengan pakar hutan belantara itu termasuk dilarang memiliki telefon pintar sendiri disebabkan alat telekomunikasi itu memudahkan kedudukan beliau dikesan pihak luar.

Lebih melucukan, Obama ternyata tidak tahu bagaimana menggunakan telefon pintar yang dipinjam daripada pengawal keselamatannya sehingga beliau gagal merakam gambar selfie dan beberapa kali bertanya kata laluan telefon tersebut.

Menjelang penghujung sesi rakaman tersebut, Grylls menghulurkan satu pembuka botol dengan muka Obama untuk ditandatangani Presiden AS tersebut sebelum beliau pulang menaiki helikopter.