Obama pertahankan perdagangan bebas

Obama pertahankan perdagangan bebas

LIMA, 21 Nov – Presiden AS Barack Obama semalam mempertahankan perdagangan bebas ketika para pemimpin Asia Pasifik berikrar akan menentang fahaman perlindungan selepas kemenangan Trump yang mengejutkan dalam pilihan raya mencetuskan kebimbangan bagi masa depan perdagangan sejagat.

Kemenangan Trump dalam pilihan raya presiden AS bulan ini telah menimbulkan kebimbangan bahawa tahun-tahun pengunduran sekatan perdagangan mungkin diundurkan selepas jutawan populis itu berikrar membatalkan siri-siri perjanjian penting.

Kemenangan beliau membayangi sidang mesyuarat kumpulan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang diadakan di Peru minggu ini, yang mana para pemimpin termasuklah Obama, pemimpin China, Xi Jinping dan pemimpin Rusia, Vladimir Putin , mendapati diri mereka berdepan tekanan hebat untuk mempertahankan perdagangan bebas.

Globalisasi dan perjanjian perdagangan semakin dipersalahkan di Eropah dan Amerika kerana menghantar pekerjaan ke luar negara dan menghakis taraf kehidupan, kebimbangan dibayangkan dalam pemilihan Trump dan undian “Brexit” Britain pada Jun lalu untuk keluar dari Kesatuan Eropah.

Pada perhimpunan APEC timbul kebimbangan tertentu tentang masa depan perjanjian utama yang disokong oleh AS – Perkongsian Rentas Pasifik (TPP) yang mana Trump telah berikrar akan membatalkannya – dan China meletakkan kedudukannya akan meneruskan dengan perjanjian perdagangannya sendiri dan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh sebarang pengunduran Amerika.

Presiden Barack Obama membuat kenyataan dalam sidang akhbar di APEC, Lima, Peru, kelmarin. – AP
Presiden Barack Obama membuat kenyataan dalam sidang akhbar di APEC, Lima, Peru, kelmarin. – AP

Tetapi selepas sidang mesyuarat tertutup semalam, Obama berkata perjanjian rentas Pasifik 12 negara, bahagian penting ‘paksi’ ke Asia yang begitu dimegahkan oleh AS, tidak mati dan mereka yang terlibat masih mahu mengorak langkah ke hadapan dengan AS.

Presiden juga menegaskan perdagangan adalah positif selagi ia dilaksanakan dalam cara yang betul dan berusaha untuk menjawab kebimbangan yang timbul tentang globalisasi, dengan mengakui bahawa ‘perolehan bersejarah dalam kemakmuran’ tidak diagihkan dengan seimbang. “Itu boleh menjadi sebut-sebutan menerusi politik kita,” ujarnya.

“Sebab itu saya amat percaya salah satu cabaran terbesar kami dalam tahun-tahun mendatang di seluruh negara kita dan di lingkungannya akan memastikan bahawa faedah dari ekonomi sejagat dikongsi oleh lebih ramai.” Dan beliau memberi mesej kepada dunia yang semakin waspada dengan globalisasi: “Jawapan ialah melakukan perdagangan dengan betul.” – AFP