Obama tarik balik larangan jual senjata kepada Vietnam

Obama tarik balik larangan jual senjata kepada Vietnam

HANOI, 23 Mei (AFP) – Amerika Syarikat telah sepenuhnya menarik balik sekatannya terhadap penjualan senjata ke Vietnam, Presiden Barack Obama mengumumkan hari ini ketika lawatan ke Hanoi, yang meleraikan sekatan yang berusia berdekad-dekad lamanya ke atas negara yang pernah menjadi musuhnya.

“AS sepenuhnya menarik balik tegahan penjualan peralatan ketenteraan ke Vietnam yang telah dikenakan kira-kira lima puluh tahun,” kata beliau pada sidang media bersama rakan sejawatan beliau dari Vietnam, Presiden Tran Dai Quang.

Kedua-dua negara dengan berhati-hati menumpu pada pengukuhan ketenteraan China di Laut China Selatan yang dipertikaikan. Tetapi Obama ingin mengasingkan keputusan untuk membenarkan penjualan senjata ke negara komunis itu dari kebimbangan yang dikongsi sama berhubung tuntutan Beijing ke atas perairan yang dipertikaikan itu.

“Keputusan untuk menarik balik tegahan bukan berdasarkan China, tetapi pada keinginan kami untuk menyelesaikan proses panjang yang mengorak langkah ke arah menjalin hubungan dengan Vietnam,”ujar Obama. “Pada peringkat ini, kedua belah pihak telah membentuk tahap kepercayaan dan kerjasama yang termasuklah ketenteraan kami,” tambah Obama lagi.

Barack Obama (kiri) bersalaman dengan Tran Dai Quang semasa lawatan beliau ke Istana Presiden di Hanoi kelmarin. – AFP
Barack Obama (kiri) bersalaman dengan Tran Dai Quang semasa lawatan beliau ke Istana Presiden di Hanoi kelmarin. – AFP

Pemimpin Vietnam Quang menyambut baik penarikan balik tegahan era Perang Dingin ke atas eksport senjata berbahaya. Lawatan tiga hari Obama ke Vietnam diadakan kira-kira 41 tahun setelah tentera Utara Vietnam dan sekutunya, Viet Cong berarak memasuki Saigon, mengaibkan kuasa besar cemerlang dunia itu.

Penarikan balik sekatan perdagangan senjata adalah simbolik peralihan dalam hubungan yang telah menyaksikan peningkatan dalam perdagangan, pertukaran budaya antara kedua-dua negara yang pernah terlibat dalam konflik berdarah satu generasi lalu.

AS dengan selesa menjalin hubungan di negara-negara Asia Pasifik dalam peralihan strategik untuk membentuk potensi perdagangan di rantau itu dan sebagai benteng pengaruh kuasa besar serantau, iaitu China.

Perbelanjaan ketenteraan Vietnam meningkat dalam dekad lalu, dengan 130 peratus sejak 2005, menurut Institusi Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm. Tetapi kebanyakan gedung senjata Vietnam terdiri dari peralatan lama buatan Rusia.