Obama tingkat tekanan ke atas China

Obama tingkat tekanan ke atas China

MANILA, 18 Nov (AFP) – Presiden AS Barack Obama hari ini mendesak China menamatkan pembinaan pulau buatan di Laut China Selatan yang amat dipertikai, meningkatkan tekanan ke atas Beijing di sidang kemuncak pemimpin-pemimpin serantau.

Sidang kemuncak tahunan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) berhasrat untuk menjalinkan perpaduan dalam perdagangan antara ekonomi lingkaran 21 negara Pasifik yang mempunyai tiga bilion penduduk.

Namun pertikaian wilayah ke atas Laut China Selatan yang amat strategik dan juga kebimbangan kepengganasan susulan serangan maut Paris minggu lalu, mendominasi mesyuarat tahun ini di Filipina.

China sudah berulang kali menegaskan bahawa pertikaiannya dengan jiran-jiran Asia mengenai lautan itu, tempat bagi beberapa laluan perkapalan paling penting dunia, tidak seharusnya menjadi agenda APEC.

Namun hanya beberapa jam sebelum sidang kemuncak dua hari itu bermula, Obama melahirkan kebimbangan mengenai kerja-kerja penebusgunaan tanah besar dilakukan China yang mencipta pulau baru hampir dengan Filipina.

Obama bercakap semasa satu mesyuarat pemimpin dan perwakilan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) di sidang sampingan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Manila, 18 November. – AFP
Obama bercakap semasa satu mesyuarat pemimpin dan perwakilan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) di sidang sampingan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Manila, 18 November. – AFP

“Kita membincangkan impak penebusgunaan tanah China dan aktiviti pembinaan ke atas kestabilan serantau,” Obama memberitahu wartawan selepas bertemu dengan Presiden Filipina Beningno Aquino.

“Kami bersetuju mengenai perlunya tindakan berani untuk mengurangkan ketegangan termasuk berikrar untuk menghentikan penebusgunaan tanah lebih lanjut, pembinaan baru dan pengerahan tentera di kawasan dipertikai di Laut China Selatan.

Semalam, Obama mengumumkan lebih daripada AS$250 juta dalam bantuan maritim kepada sekutu Asia Tenggaranya—termasuk kapal perang untuk Filipina.

China menuntut hampir semua Laut China Selatan, meskipun perairan itu hampir dengan jiran-jiran Asianya.

Anggota APEC terdiri daripada Filipina, Vietnam, Malaysia, Brunei dan Taiwan turut mempunyai tuntutan bertindih ke atas sebahagian lautan yang dipercayai mempunyai sumber luas minyak dan gas.