OBBD lulus Ujian Piawaian Antarabangsa

OBBD lulus Ujian Piawaian Antarabangsa

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Dis – Pusat Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD) buat kali ke-8 telah Lulus Ujian Piawaian (Standard) Antarabangsa bagi sesi 2017-2018 yang diadakan baru-baru ini dan dikendalikan oleh pakar daripada Outward Bound Antarabangsa (OBI).

Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat I, selaku Ketua Unit Pusat OBBD, Bahagian Pembangunan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Mohammad Rosfazilah bin Haji Yusly dalam kenyataannya, hari ini, menjelaskan, ujian yang dikenali sebagai Program Review Outward Bound itu merupakan salah satu pensyaratan utama yang dikenakan kepada semua ahli gabungan Outward Bound Antarabangsa (OBI) di seluruh dunia sebagai satu program dwi tahunan yang menekankan ciri-ciri keselamatan.

Selain daripada itu, program berkenaan juga melibatkan kajian-kajian dan penyelidikan berhubung dengan perkembangan operasi pusat OBBD.

Menurut beliau lagi, Pusat OBBD telah pun melalui program ini sejak tahun 1996 iaitu semasa diberikan keahlian Lesen Sementara, kemudian pada 1999, pusat ini telah dianugerahkan keahlian Lesen Tetap setelah melalui dan mengikuti ujian piawaian (standard) yang ditetapkan oleh pihak OBI.

Sehingga hari ini, program berkenaan masih lagi berkuat kuasa ke arah memastikan sekolah/pusat Outward Bound di seluruh dunia beroperasi sesuai dengan piawaian yang ditetapkan oleh OBI.

Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat I (Ketua Unit OBBD) ketika menyampaikan ucapan semasa majlis tersebut.
Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat I (Ketua Unit OBBD) ketika menyampaikan ucapan semasa majlis tersebut.

pg07_151224_a

Adapun tujuan ujian ini diadakan adalah untuk memenuhi pensyaratan mandatori yang dikenakan oleh OBI terutama bagi memastikan aspek kualiti dan keselamatan yang telah dikuatkuasakan oleh badan induk (OBI) sesuai dengan garis pandu yang ditetapkan.

Pensyaratan ini menghendaki agar kesemua sekolah/pusat Outward Bound di serata dunia yang bernaung di bawah badan induk tersebut untuk menjalani Program Review setiap dua tahun.

Ujian ini dijalankan oleh pakar-pakar keselamatan yang diiktiraf oleh badan induk tersebut (OBI) dan mana-mana sekolah/pusat Outward Bound yang gagal untuk mematuhi pensyaratan mandatori bagi menjalani ujian tersebut pada setiap jangka waktu yang telah ditetapkan boleh mengakibatkan penggantungan atau pembatalan pada status keahlian, lesen dan pengiktirafan sesebuah sekolah/pusat Outward Bound yang terlibat.

Selain itu, ujian ini juga bertujuan untuk mengenal pasti secara terperinci kekuatan, kelemahan dan potensi Pusat OBBD yang meliputi segala aspek seperti pengurusan, operasi, latihan, perubatan, kualiti perkhidmatan, keselamatan, keberkesanan dan lain-lain yang berkaitan.

Serta untuk memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan dengan lebih berkesan serta bersistematik setelah dikenal pasti semasa ujian ini dijalankan khususnya yang melibatkan kualiti dan keselamatan ke arah meningkatkan lagi imej dan reputasi pusat OBBD sebagai salah sebuah sekolah/pusat Outward Bound terbaik seluruh dunia.

Ke arah itu, Haji Mohammad Rosfazilah melahirkan perasaan berbangga kerana Pusat OBBD telah dilabelkan sebagai salah sebuah Pusat Outward Bound yang unik dan unggul dengan ciri-ciri khas yang dimiliki seperti hutan tropikanya yang mencabar, sungai yang bersih dengan arus yang sederhana, kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan terurus dengan baik dan yang istimewanya mempunyai daya tarikan kepada pelancong-pelancong untuk mengunjungi Negara Brunei Darussalam.

Justeru itu, pihak OBBD berharap dengan adanya pusat ini akan lebih ramai lagi masyarakat di negara ini terutamanya ibu bapa dan penjaga untuk memberi kepercayaan dan sokongan bagi pusat ini mengendalikan apa jua bentuk aktiviti Outward Bound semata-mata ke arah sama-sama membantu untuk berubah dan membentuk jati diri yang lebih mantap, berkeyakinan, percaya diri dan berdikari sesuai dengan Wawasan 2035.

ARTIKEL YANG SAMA