OBBD perkasa jati diri belia

OBBD perkasa jati diri belia

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Untuk mempelbagaikan lagi aktiviti kebeliaan yang menekankan aspek pembangunan jati diri belia, merangkumi ketahanan fizikal dan mental, kecepatan daya berfikir, menjalin hubungan setia kawan dan berdikari, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Bahagian Pembangunan Belia dan Sukan melancarkan Program Outward Bound Belia Brunei Darussalam di Kem Batang Duri Temburong, kelmarin.

Hadir merasmikan program berkenaan ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.

Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat 1 selaku Ketua Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD), Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly, ketika menyampaikan ucapan alu-aluan di awal majlis, berkata program yang baru diperkenalkan ini juga memberi peluang kepada belia yang berminat dan bergiat aktif dalam aktiviti lasak dengan melibatkan keempat-empat daerah ke arah melahirkan belia yang berjiwa besar, berdikari, mempunyai nilai patriotisme yang tinggi serta berguna kepada agama, bangsa dan negara dalam mencapai Wawasan Negara 2035.

Datin Paduka Hajah Adina bergambar ramai selepas merasmikan program berkenaan.
Datin Paduka Hajah Adina bergambar ramai selepas merasmikan program berkenaan.

Program ini memfokuskan kepada penyertaan belia berumur antara 15 hingga 40 tahun dan terbahagi kepada tiga kategori yang direka khas mengikut tema dan matlamatnya yang tersendiri iaitu Kursus Teroka Cabaran yang bertemakan ‘Keyakinan Diri Belia’ selama dua hari, Kursus Sekapur Sireh bertema ‘Potensi Diri Belia’ selama tiga hari dan Kursus Sekapur Sireh dengan tema ‘Kepimpinan Belia’ selama empat hari.

Beliau turut menyuarakan harapan bahawa dengan adanya program ini, akan dapat meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan dan mempelbagaikan lagi produk Pusat OBBD dan menarik lebih ramai belia mengisi masa lapang mereka dengan perkara yang bermanfaat.

ARTIKEL YANG SAMA