Obesiti kanak-kanak jadi tumpuan

Obesiti kanak-kanak jadi tumpuan

Oleh Pg Fairol RMF

 

pg01_160318_MMN_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Isu obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini juga menjadi tumpuan dalam Majlis Mesyuarat Negara yang memasuki hari ke-10 hari ini.

Kebimbangan mengenai peningkatan dalam isu obesiti ini disuarakan oleh Yang Berhormat Dato Paduka Haji Abdullah bin Haji Mohd Jaafar yang mengatakan gejala diabetes ini jika dibiarkan akan mengancam kesihatan, produktiviti dan kualiti hidup pada masa depan.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi semasa menjawab persoalan itu mengesahkan hasil kaji selidik Kementerian Kesihatan menunjukkan kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berumur di antara 13-15 tahun adalah 17.7 peratus secara keseluruhan.

Menurutnya lagi, jika mengikut kategori jantina, kanak-kanak dan remaja lelaki paling ramai mengalami obesiti iaitu sebanyak 20.4 peratus manakala perempuan sebanyak 15.3 peratus, ini tidak termasuk mereka yang mengalami berat badan berlebihan sebanyak 35.2 peratus menjadikan 1/3 daripada kanak-kanak dan remaja di negara ini dilihat memiliki berat badan berlebihan.

“Jika dikirakan kadar tersebut, ia amat tinggi dan amat membimbangkan kerana obesiti ini boleh mengakibatkan komplikasi penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, diabetes peringkat kedua dan darah tinggi,” katanya.

Dalam jangka masa panjang, ia akan meningkatkan bebanan bukan sahaja kepada kerajaan malahan pesakit, keluarga, majikan dan sahabat-sahabat mereka sendiri.

Menurut Menteri Kesihatan lagi, kementeriannya akan cuba menangani isu ini dan membuat kajian dengan teliti dengan memperkenalkan peraturan-peraturan dan akta tertentu bagi mengatasi gejala ini. Yang Berhormat Dato juga berpendapat, salah satu cara mengatasi masalah ini adalah untuk sama-sama berganding bahu bukan sahaja di peringkat kerajaan bahkan menyemai kesedaran agar mereka yang terbabit mengubah sikap untuk menjalankan kehidupan lebih sihat.

“Namun sebelum membuat sebarang peraturan baru, sebaiknya kita pertimbangkan dahulu usaha menerapkan kefahaman kepada anak-anak muda untuk menjalani kehidupan lebih sihat, agar usia mereka lebih panjang,” kata Yang Berhormat Dato Dr. Haji Zulkarnain.

ARTIKEL YANG SAMA