Obesiti membimbangkan

Obesiti membimbangkan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Kaji selidik ‘Global School Health Survey’ (GSHS) 2014 yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan dalam memantau keadaan kesihatan 2,599 pelajar remaja dari 38 buah sekolah menunjukkan beberapa aspek amalan cara hidup yang tidak sihat.

Penemuan mendapati, lebih separuh iaitu 52.6 peratus remaja yang berumur 13 hingga 17 tahun mempunyai berat badan berlebihan dan obes yang mana kaji selidik juga mendapati 52.1 peratus remaja sekurang-kurangnya sekali dalam sehari minum minuman berkarbonat (bergas).

Perkara ini ditekankan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan di Kementerian Kesihatan, Haji Mahrub bin Haji Murni semasa menyampaikan ucapan di Majlis Penutup Kem Remaja Cara Hidup Sihat bagi Pelajar Sekolah Menengah dan Maktab Kerajaan kali pertama yang berlangsung di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) Berakas, hari ini.

“Daripada jumlah tersebut, hanya seorang daripada lima pelajar sahaja memakan buah-buahan dan sayur-sayuran yang mencukupi, di mana kaji selidik juga menunjukkan 12.7 peratus dalam kalangan remaja hanya melakukan kegiatan fizikal mencukupi seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” tambah beliau.

Sementara itu, menyentuh mengenai kaji selidik ‘Global Youth Tabacoo Survey’ (GYTS) 2013, katanya, seorang daripada 10 orang remaja yang berumur 13 hingga 15 tahun atau 10.6 peratus remaja ialah perokok, dan menurutnya, perkara ini membimbangkan, kerana remaja ini berkemungkinan besar akan menjadi perokok apabila dewasa.

Salah seorang wakil peserta menerima sijil daripada tetamu kehormat majlis.
Salah seorang wakil peserta menerima sijil daripada tetamu kehormat majlis.

“Kesemua ini membuktikan, pelajar khususnya golongan remaja mempunyai risiko untuk mengalami penyakit tidak berjangkit di usia dewasa kelak,” tambahnya.

Beliau seterusnya berkata, “aktiviti seperti perkhemahan ini dapat menimbulkan kesedaran dan mempertingkatkan kefahaman remaja mengenai kepentingan amalan cara hidup sihat, selaras dengan misi Pusat Promosi Kesihatan untuk ‘Memperkasa Rakyat Ke Arah Kehidupan Sihat’.

Ini juga bertepatan dengan beberapa objektif dan strategi yang digariskan dalam Pelan Tindakan Pelbagai Sektor Kebangsaan Brunei Darussalam bagi Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (BruMAP-NCD ) 2013-2018.

Beliau dalam ucapannya turut meluahkan harapan agar para peserta perkhemahan berkenaan dapat meraih pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan bagi membolehkan semua mempraktikkan amalan cara hidup sihat dalam kehidupan seharian.

Perkhemahan ini juga diharap dapat melahirkan ‘Duta Kesihatan Belia’ dan segala pengetahuan dan latihan yang diperoleh daripada perkhemahan ini tidak akan berakhir di sini tetapi dapat diteruskan dan dikongsi dengan rakan sebaya di sekolah dan maktab dengan menggunakan sumber-sumber yang diedarkan dalam bentuk cakera padat.

Di samping itu, peserta juga digalakkan menjadi model peranan untuk mengamalkan cara hidup sihat terutama bagi rakan sebaya di sekolah atau maktab masing-masing.

Di majlis itu, beliau turut menyempurnakan penyampaian sijil kepada 80 peserta perkhemahan yang terdiri daripada pelajar-pelajar Tahun 9 dan 10 sekolah menengah dan maktab kerajaan senegara.

Perkhemahan selama empat hari yang bermula pada 17 September lalu itu dianjurkan oleh Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan dan Pusat Promosi Kesihatan.

Antara lain objektifnya adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman mengenai kepentingan mengamalkan cara hidup sihat di samping mendidik kemahiran hidup dalam teknik mengelak daripada terpengaruh kepada kelakuan seks bebas dan mengelak diri daripada dipelawa untuk merokok.

ARTIKEL YANG SAMA