Ofo terima suntikan dana pembiayaan baharu

BEIJING, 13 Mac – Perkhidmatan perkongsian basikal terkemuka China, Ofo mengumumkan hari ini bahawa ia telah menambahkan lagi AS$886 juta dalam pusingan terbaharu pembiayaan yang diketuai oleh Kumpulan Alibaba.

Para pelabur termasuk Kumpulan Hao-feng, Tianhe Capital, Ant Financial dan Junli Capital, dan satu gabungan hutang dan ekuiti telah digunakan bagi pembiayaan, menurut kenyataan syarikat.

“Sebagai pemimpin global dalam sektor perkongsian basikal, Ofo telah beralih dari satu fasa pertumbuhan pesat ke peringkat pembangunan berkualiti tinggi,” ujar pengasas dan CEO Ofo, Dai Wai.

Dilancarkan pada 2014, Ofo menjadi terkenal setelah menyediakan model basikal awam tanpa stesen khasnya. Pengguna boleh mendapatkan basikal itu di tepi jalan, membuka kunci menerusi satu kod yang dihantar dalam telefon pintar mereka dan meletakkannya di mana-mana sahaja selepas digunakan.

Seorang kanak-kanak menaiki basikal Ofo di Shanghai. – AFP

Pusingan baharu bagi pembiayaan menandakan yang tertinggi setakat ini, berikutan pusingan pembiayaan sebanyak AS$700 juta pada Julai lalu, yang disokong oleh pelabur termasuk Ali baba.

Syarikat itu telah menambahkan pengembangannya di luar negara, dengan melancarkan perkhidmatan itu di bandar-bandar besar di dunia seperti Washington D.C sejak beberapa tahun yang lalu.

Menurut syarikat itu, pada masa ini, ia telah beroperasi di lebih 250 buah bandar di 21 buah negara dengan 10 juta buah basikal.

Pasaran perkongsian basikal China telah tumbuh dengan cepat sejak beberapa tahun yang lalu sebagai sebahagian daripada ekonomi digital yang berkembang pesat, yang membentuk semula landskap ekonomi negara. – Xinhua