Ogos diisytihar ‘Bulan Malaysia’ di Victoria

Ogos diisytihar ‘Bulan Malaysia’ di Victoria

MELBOURNE, 19 Ogos – Bulan Ogos diisytiharkan sebagai “Bulan Malaysia” di Victoria, Australia, dalam usaha mempromosikan manfaat perdagangan dua hala antara wilayah berkenaan dengan Malaysia.

Presiden Majlis Perniagaan Australia-Malaysia (AMBC), Joe Perri dalam satu kenyataan hari ini berkata, antara lain “Bulan Malaysia” akan mempromosikan sektor pertumbuhan utama Malaysia selain menghubungkan syarikat dan usahawan di peringkat rakan niaga dengan menyokong misi perdagangan Malaysia ke Melbourne.

Malah, bersempena sambutan itu yang bermula Isnin lepas, AMBC dan Pitcher Partners yang juga firma penasihat perakaunan dan perniagaan terkemuka, turut menganjurkan Form Perkhidmatan Kewangan Australia-Malaysia yang mengetengahkan aspek kewangan serta perbankan Islam.

Tidak ketinggalan, pihak Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menjadi tuan rumah kepada 18 wakil Malaysia yang menyertai misi pemasaran pembinaan dan bahan binaan selama dua hari di Melbourne, bermula 17 Ogos lepas.

Esok, satu delegasi Francais & Kepenggunaan dari Malaysia dijadual menemui anggota lembaga eksekutif AMBC dan disusuli pertemuan dengan usahawan terkemuka Victoria serta Menteri Perusahaan Kecil, Inovasi dan Perdagangan wilayah itu, Philip Dalidakis, pada Jumaat.

Pada 21-23 Ogos, delegasi berkenaan akan menyertai Ekspo Francais dan Perniagaan Melbourne yang dianjurkan bersama pihak Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia. – Bernama