OIC harap main peranan dalam proses politik di selatan Thai

OIC harap main peranan dalam proses politik di selatan Thai

BANGKOK, 13 Jan (Bernama) – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berharap dapat memainkan peranan dalam proses politik yang berterusan antara kerajaan Thailand dan kumpulan pemisah di selatan negara itu.

Setiausaha Agung OIC, Iyad Ameen Madani berkata perkara itu disampaikan kepada Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha dalam satu pertemuan pada Selasa bahawa OIC hanya akan berbuat demikian ‘sekiranya terdapat perjanjian’ dengan Bangkok.

“Kami menawarkan diri kami sebagai fasilitator, sebahagian daripada langkah membina keyakinan untuk proses politik di selatan (Thailand).

“Kami sangat yakin dengan apa yang berlaku di bawah kepimpinan sekarang. Kami merasakan ada keikhlasan dalam menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada pemberita dalam satu temu bula di sini Selasa malam. Madani, yang baru tiba di sini dari Kuala Lumpur, Malaysia, tiga hari lalu berkata OIC sangat menyokong rundingan antara Bangkok dan kumpulan pemisah serta ‘jika ditanya, kami boleh memainkan peranan itu’.

Walau bagaimanapun, beliau turut menjelaskan bahawa OIC tidak terlibat dalam penyelesaian masalah itu dan ‘tiada agenda’ tetapi hanya menawarkan dirinya sebagai platform membina keyakinan.

Dalam temu bual yang diadakan pada penghujung lawatannya ke Thailand, setiausaha agung OIC itu turut menekankan bahawa konflik di selatan Thailand ‘bukan berpunca daripada agama’.

Thailand dan kumpulan pemisah telah mengadakan beberapa siri rundingan dibantu oleh Malaysia di Kuala Lumpur sebagai usaha mencari penyelesaian yang aman terhadap konflik yang berterusan di wilayah selatan negara itu.

Menurut Madani, ‘sejarah pergolakan’ dan ‘rasa tidak bersetuju’ boleh diselesaikan menerusi proses politik dengan ‘mendapatkan mereka untuk berunding antara satu sama lain’.

Beliau juga menyatakan dengan keras bahawa integriti kerajaan Thailand tidak perlu dipersoalkan.

“Semua warga Thailand adalah rakyat dan mereka mempunyai hak yang sama. Kami melihat Thailand sebagai tempat yang mempunyai kebebasan beragama. Tidak ada halangan dalam mengamalkan agama anda,” katanya.

Selain proses politik, beliau turut berharap agar pertubuhan itu dapat memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi di selatan Thailand.

“OIC, dengan semua peralatan, institusi kewangan dan sistem pembangunan, boleh memainkan peranan sebagai komponen penting dalam aktiviti ekonomi,” katanya dan menambah industri halal mempunyai potensi yang besar untuk berkembang di Thailand, khususnya di wilayah selatan.

Beliau berkata industri halal global bernilai AS$3 trilion adalah lumayan dan mewakili pelbagai peluang ekonomi.

ARTIKEL YANG SAMA