OIC isytihar Deklarasi Jakarta

OIC isytihar Deklarasi Jakarta

JAKARTA, 7 Mac (Bernama) – Sidang kemuncak tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Palestin dan Al-Quds Al-Sharif di sini hari ini ditangguhkan dengan pengisytiharan Deklarasi Jakarta yang mengandungi lima usul.

Usul berkenaan ialah menggesa komuniti antarabangsa untuk menyokong pemboikotan barangan Israel yang dihasilkan di wilayah pendudukan secara haram di Palestin dan menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) menangani isu pencerobohan dan pendudukan haram di Palestin.

Dua lagi usul ialah menyokong usaha supaya satu persidangan antarabangsa diadakan untuk memacu usaha masyarakat antarabangsa mencapai objektif penyelesaian dua negara dengan rangka kerja yang jelas, meningkatkan bantuan kewangan dan pembangunan bina upaya oleh negara-negara anggota OIC dan bukan anggota serta badan antarabangsa lainnya untuk mengukuh institusi kerajaan Palestin.

Usul kelima ialah menubuhkan satu kumpulan pakar undang-undang untuk meneliti kaedah merujuk pelanggaran hak asasi manusia dan memberikan nasihat kepada kerajaan Palestin di institusi badan antarabangsa.

Sidang kemuncak tergempar itu dihadiri lebih 500 anggota delegasi dari 57 negara anggota OIC dan dua pertubuhan antarabangsa atas permintaan Presiden Palestin Mahmoud Abbas.

Penangguhan sidang kemuncak tergempar itu diumumkan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Malaysia yang dikeluarkan di sini, menyatakan kehadiran Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman dalam sidang kemuncak itu adalah bukti bahawa Malaysia menzahirkan solidariti dan sokongan moral atas kerajaan Palestin dan rakyatnya.

“Malaysia telah memperbaharui komitmen dan mengulangi sokongan yang tidak berbelah- bahagi atas perjuangan dan hak-hak rakyat Palestin dalam mempertahan dan melindungi wilayah Palestin dan Al-Quds Al-Sharif dan Malaysia menegaskan bahawa usaha negara anggota OIC perlu ditingkatkan serta tidak hilang fokus,” menurut kenyataan itu lagi.

Katanya, Malaysia juga menggariskan pendiriannya supaya masyarakat antarabangsa memberi tekanan terhadap rejim Israel melalui saluran perundangan, diplomatik dan ekonomi supaya pendudukan haram dihentikan serta merta.

Malaysia akan meneruskan pendekatan pragmatik dalam menyampaikan bantuan kepada kerajaan Palestin supaya tahap sosio-ekonomi dan kesejahteraan rakyat negara itu dapat ditingkatkan, katanya.

Bersempena sidang kemuncak itu, Anifah turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat dari Tajikistan, Gambia, Tunisia, Turki dan Iran.

ARTIKEL YANG SAMA