OIC kutuk serangan di Arab Saudi

OIC kutuk serangan di Arab Saudi

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas di tiga bandar raya Arab Saudi semalam yang meragut nyawa empat pegawai keselamatan dan menyebabkan lima orang cedera.

Setiausaha agungnya, Iyad Ameen Madani, berkata mereka yang melakukan, merancang atau menyokong serangan itu begitu terdesak dalam tindakan mereka hingga sanggup menjejaskan keselamatan dan kestabilan Arab Saudi serta rantau itu dan dunia Islam amnya.

“Seseorang yang membunuh diri, melakukan pembunuhan dan keganasan terhadap manusia yang tidak bersalah serta melakukannya pula pada bulan Ramadan yang mulia dan di Al-Madinah Al Munawwarah, berhampiran Masjid Nabawi, bukanlah orang Islam sebenar serta tidak memiliki sedikit pun nilai-nilai keIslaman,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengebom bunuh diri itu menjadikan Jeddah, sebuah masjid di Qatif dan satu pusat pemeriksaan keselamatan berhampiran Masjid Nabawi di Madinah sebagai sasaran mereka.

Madani berkata jenayah yang dilakukan itu bertentangan sepenuhnya dengan ciri-ciri seorang manusia sebenar.

“Pengganas seperti itu semata-mata menjadi alat durjana, yang langsung tidak mempunyai perasaan dan rasional serta diperkudakan oleh mereka yang menganjurkan radikalisme, kekacauan dan keganasan,” katanya.

Madani juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berdoa agar mereka yang cedera akan segera sembuh.

Beliau yakin pihak berkuasa Arab Saudi akan dapat menangkap saki baki mereka yang terlibat dengan keganasan itu dan membawa mereka ke muka pengadilan serta mendedahkan siapa sekutu mereka.

Madani mengulangi perpa-duan penuh OIC dengan kepimpinan, kerajaan dan rakyat Arab Saudi dalam semua langkah yang diambil bagi memerangi keganasan melalui pendekatan menyeluruh, termasuk dari segi politik, ekonomi, sosial dan intelektual.

Beliau juga memuji kepekaan dan kecekapan agensi keselamatan Arab Saudi yang “berjaya menggagalkan dan menentang serangan pengganas itu”.

Madani turut mengulangi pendirian tegas OIC yang menolak keganasan dalam semua bentuk dan manifestasinya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA